Daim: Majlis Penasihat masih ada, tapi tiada mesyuarat

Daim Zainuddin mengetuai Majlis Penasihat Kerajaan yang ditubuhkan sejak 12 Mei lalu.

KUALA LUMPUR: Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) masih wujud, tetapi sudah lama ia tidak mengadakan mesyuarat, kata Pengerusinya, Tun Daim Zainuddin.

Beliau berkata, semua ahli CEP sudah kembali melakukan tugas lama mereka.

“Perdana menteri kata (CEP masih) ada. Semua sudah balik buat kerja masing-masing,” katanya selepas menghabiskan masa dengan penduduk di kawasan Parlimen Titiwangsa di Kelab Sultan Sulaiman, hari ini.

Pada 20 Ogos lalu, Daim mengumumkan CEP sudah menyempurnakan mandat mereka dan akan menyerahkan cadangannya kepada perdana menteri.

Bagaimanapun, Dr Mahathir mengumumkan CEP tidak akan dibubarkan, walaupun pentadbiran Pakatan Harapan (PH) akan genap 100 hari kerana khidmat mereka masih diperlukan.

Pengumuman itu bercanggah kenyataannya pada 12 Mei lalu yang CEP akan dibubabarkan selepas 100 hari pentadbiran PH.

CEP ditubuhkan 12 Mei lalu, iaitu 2 hari selepas PH berjaya menumbangkan Barisan Nasional pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Selain Daim, CEP turut dianggotai bekas gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas ketua pegawai eksekutif Petronas, Tan Sri Hassan Marican, taikun Tan Sri Robert Kuok dan pakar ekonomi, Dr KS Jomo.