Guan Eng: Harga 5 jenama kereta turun selepas SST

Lim Guan Eng berkata, penurunan harga itu mencecah sehingga RM3,000.

GEORGE TOWN: Beberapa jenama kereta, termasuk keluaran luar negara mencatatkan penurunan harga sehingga RM3,000 selepas pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika mengumumkan perkara itu berkata, 5 jenama kenderaan tersebut terdiri daripada model Perodua, Honda, Toyota, BMW dan Volkswagen.

“Saya telah memperoleh maklumat bahawa ada beberapa jenis kereta yang harganya jika dibandingkan dengan (ketika dilaksanakan) cukai barang dan perkhidmatan (GST) adalah lebih rendah.

“Ini kerana kita tidak kutip begitu banyak berbanding GST, harga barangan boleh lebih kurang dan ia juga dilaksanakan oleh kerajaan bagi menjamin kesejahteraan rakyat,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Lim memberi contoh Proton Axia di mana harga selepas pelaksanaan SST adalah RM40,390 berbanding RM41,497 iaitu penurunan sebanyak RM1,107 berbanding semasa GST.

“Bagi kereta Myvi 1.5, harga kini adalah RM54,090 berbanding RM55,300, Honda Jazz 1.5 berharga RM83,633 (sebelumnya RM85,750), Toyota Vios RM93,200 berbanding dahulu RM93,980 manakala kereta jenis Volkswagen Polo hanya RM74,900 berbanding harga semasa dikenakan GST, iaitu RM76,888.”

Selain itu, Lim berkata, jenama BMW 118i turut menyaksikan penurunan harga sebanyak RM3,000 daripada RM188,800 kepada RM185,800.