Husam: Kelantan terima bantuan defisit, tapi mampu beli kereta mewah?

Husam Musa berkata, jika tindakan itu benar, maka kerajaan persekutuan wajar menyemak kembali peruntukan yang diberikan kepada kerajaan Kelantan ketika ini.

KOTA BHARU: Tindakan kerajaan Kelantan membeli sekurang-kurangnya sebuah kereta mewah bagi kegunaan pegawai kanannya dipersoalkan, ketika negeri itu merupakan penerima terbesar bantuan kewangan defisit dan bantuan kewangan pendahuluan daripada kerajaan persekutuan.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Senator Husam Musa dalam tegurannya berkata, jika tindakan itu benar, maka adalah wajar bagi kerajaan persekutuan menyemak kembali peruntukan diberikan kepada kerajaan Kelantan ketika ini.

“Bantuan kewangan defisit dan bantuan kewangan pendahuluan harus digunakan untuk membayar emolumen bagi pegawai tadbir awam dan bukan untuk membayar gaji (penjawat awam) lantikan politik yang terlalu banyak.

“Jadi, perbelanjaan (Kerajaan Kelantan) boleh disemak untuk diaudit. Kalau penggunaan untuk tujuan asal (bayaran emolumen penjawat awam) kerajaan persekutuan boleh bagi, tapi kalau peruntukan disalah guna kita kena kaji balik.”

Beliau bercakap pada Majlis Jamuan Rakyat sempena Awal Muharram yang turut dihadiri Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith di Kubang Kerian, hari ini.

Sabtu lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dilaporkan berkata, kerajaan Kelantan merupakan penerima terbesar bantuan kewangan defisit dan bantuan kewangan pendahuluan daripada kerajaan persekutuan berjumlah RM913 juta.

Lim dipetik sebagai berkata, dari 2013 hingga 2017, Kelantan menerima RM363 juta bantuan kewangan defisit yang merupakan pemberian kepada negeri menghadapi kekurangan wang dalam akaun mengurus.