Menteri: 1 balai bomba bagi setiap 10,000 penduduk

Zuraida Kamaruddin berkata perancangan itu akan dilaksanakan seluruh Malaysia.

BATU KAWAN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bercadang mewujudkan sebuah balai bomba dan penyelamat di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk mencecah 10,000 orang supaya dapat memberikan respons yang lebih pantas kepada masyarakat.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata perancangan ini akan dilaksanakan di seluruh negara dengan sekurang-kurangnya balai bomba yang dibina itu dalam kategori kelas D.

“Selepas membuat lawatan kerja di kira-kira 8 negeri, saya melihat terdapat keperluan untuk mewujudkan sebuah balai bomba dan penyelamat di kawasan ramai orang iaitu sekurang-kurangnya 10,000 orang supaya bomba dapat bertindak lebih pantas sekiranya berlaku sebarang kes di kawasan berkenaan.

“Sekiranya cadangan ini terlaksana, kami akan menempatkan beberapa pegawai di balai bomba itu dan ini akan memudahkan mereka menghantar bantuan terutama operasi memadam kebakaran serta menyelamat mangsa jika berlaku insiden tidak diingini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melakukan lawatan kerja rasmi di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, hari ini. Turut hadir, Ketua Pengarah JBPM, Mohammad Hamdan Wahid dan Pengarah Bomba Pulau Pinang, Saadon Moktar.

Sementara itu, mengulas mengenai elaun kritikal untuk 14,700 pegawai dan anggota JBPM Zuraida berkata pihaknya bakal memuktamadkan elaun kritikal selepas perbincangan serta penelitian berhubung perkara itu selesai dibuat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam masa terdekat.

Katanya beliau percaya elaun kritikal RM250 itu akan diberikan memandangkan pihaknya membuat satu kertas kerja yang dibentangkan untuk mendapatkan kelulusan beberapa agensi kerajaan dan sekarang ini hanya menunggu keputusan JPA.

“Saya memang memperjuangkan elaun itu untuk anggota serta pegawai bomba dan berharap mereka semua bersabar kerana kelewatan ini disebabkan kertas kerja berikutan kerajaan baharu,” katanya.

Katanya elaun berkenaan perlu memandangkan tugas anggota bomba yang berdepan risiko berbahaya serta mengancam keselamatan ketika di lokasi bencana.

Pada masa sama, beliau menggalakkan masyarakat supaya mempunyai semangat sukarelawan menerusi inisiatif menubuhkan pasukan bomba sukarelawan di kawasan masing-masing bagi membantu dan memberi respons pantas kepada JBPM apabila berdepan kes kecemasan.

“Dengan adanya pasukan sukarelawan ini boleh mempercepatkan respons dalam membantu melakukan langkah penyelamatan awal sementara menunggu anggota bomba sampai.

“Ini satu inisiatif mulia yang menunjukkan mereka sangat prihatin dan peka terhadap perkara yang membabitkan nyawa serta kerosakan harta benda,” katanya.