Nelayan cerita pengalaman sembunyi daripada penculik di Semporna

Dua kru diculik dari bot nelayan mereka oleh beberapa lelaki bersenjata awal pagi tadi. (Gambar Facebook)

KOTA KINABALU: Seorang nelayan berjaya mengelak daripada diculik di Semporna dengan bersembunyi di bawah timbunan papan lapis dan karung guni, selepas 2 lelaki bersenjata menaiki bot mereka awal hari ini.

Lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Bakri itu berkata, beliau sedang berehat di kuarters sementaranya yang digunakan untuk menyimpan sauh bot, apabila sebuah bot pancung mendekati kapal mereka sejurus selepas tengah malam tadi.

“Saya rasa sesuatu tidak betul apabila lampu bot pancung itu tiba-tiba ditutup ketika ia menghampiri bot kami,” katanya kepada FMT.

Tidak lama kemudian, katanya, 2 lelaki yang dipercayai bersenjata dan bertopeng naik ke bot mereka.

“Saya segera bersembunyi di bawah timbunan papan lapis dan berjaya mendapatkan beberapa karung guni untuk menutupnya.

“Saya takut kehilangan nyawa kerana ini kali pertama saya mengalami insiden ini. Saya hanya fikir bagaimana dan jika saya akan terselamat.”

Dalam kejadian 12.30 tengah malam tadi, 2 kru bot nelayan diculik beberapa lelaki bersenjata di perairan Pulau Gaya, Semporna.

Pemangku Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, ketika kejadian, 2 mangsa berusia 30-an bersama 2 yang lain sedang menangkap ikan di perairan itu.

Semua kru bot nelayan itu ialah warga Indonesia. Dua yang lain, termasuk Bakri berjaya menyembunyikan diri.

Bakri berkata, mereka berempat berada dalam bot itu ketika kejadian berlaku dan kru lain menghantar hasil tangkapan mereka ke kawasan darat di Semporna.

“Selepas kira-kira sejam, kawan saya memanggil saya…masa itu baru saya keluar. Saya tidak akan keluar jika beliau tidak panggil saya.”

Beliau percaya beberapa lelaki itu berasal dari sebuah negara jiran, tetapi beliau tidak memahami apa yang mereka katakan ketika berada di dalam bot itu.

Bakri berkata, kawannya menghubungi majikan mereka di Tawau yang kemudian membuat laporan polis sebelum mereka pulang ke darat.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, beliau sudah mengarahkan polis segera mengesan lokasi 2 nelayan itu.

“Saya sudah mengarahkan tindakan susulan, walaupun nelayan itu ialah warga Indonesia.

“Kita perlu memastikan nyawa dilindungi tidak kira siapa mereka kerana mereka diculik dalam kawasan kita dan ini menjadi tanggungjawab kita dan kita perlu membantu negara jiran juga,” katanya selepas sambutan Maal Hijrah peringkat negeri, hari ini.

Sementara itu, Omar berkata, ini adalah kejadian culik pertama di Sabah tahun ini dan bot nelayan terbabit mempunyai lesen untuk menangkap ikan ketika perintah berkurung dilaksanakan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

Beliau tidak menolak kemungkinan kejadian terbaru ini ada kaitan dengan aktiviti keganasan, tetapi beliau percaya ia adalah kes culik untuk mendapatkan wang tebusan.

“Belum ada tuntutan untuk sebarang wang tebusan lagi. Kami tidak pasti jika nelayan yang diculik masih berada di negara ini…siasatan masih dijalankan.”