Pengerusi Mara dilantik dalam masa terdekat, kata menteri

Rina Harun berkata, Putrajaya tidak mahu memilih calon seperti Annuar Musa sebagai pengerusi Mara.

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melantik profesional yang berkualiti untuk mengetuai Majlis Amanah Rakyat (Mara) dalam masa terdekat, kata menteri pembangunan luar bandar.

Rina Harun berkata, calon itu ia bagi memastikan Mara kekal berdaya saing, mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan menjadi mercu kejayaan orang Melayu serta Bumiputera.

“Kita baru dapat makluman Mara di bawah kementerian kita. Namun, kita akan buat pelantikan (pengerusi Mara) pada masa terdekat.

“Yang ini kita tidak mahu pilih orang macam (Tan Sri) Annuar Musa lagi, kita akan pilih orang yang berkualiti, pilih orang profesional dan berkelayakan,” katanya dalam sesi sembang santai bersama penduduk Parlimen Titiwangsa di Kelab Sultan Sulaiman, hari ini.

Datuk Awang Adek Hussin dilantik sebagai pengerusi Mara pada 1 September 2017 menggantikan Annuar yang tidak menyambung kontraknya.

Kerajaan pada 3 September lalu dilapor akan mengumumkan beberapa penambahbaikan dan pembaharuan yang bakal dilaksanakan ke atas Mara dalam masa terdekat.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini mengumumkan Mara kekal di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar, selepas cadangan membahagikan fungsi Mara kepada beberapa kementerian mendapat tentangan hebat.

Sementara itu, Rina berkata, kementeriannya dalam proses menubuhkan jawatankuasa khas untuk menyelesaikan isu Orang Asli, selepas berbincang dengan kerajaan Kelantan.

“Kita cuba cari jalan terbaik untuk semua orang dan rakyat.”