PKR: Anwar tak tanding di Pandan

Saifuddin Nasution Ismail berkata, pengumuman kerusi Parlimen yang bakal ditandingi Anwar Ibrahim akan dibuat di ibu pejabat PKR esok.

BANDAR BAHARU: Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail akan mengumumkan kerusi yang akan ditandingi Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu pejabat parti itu, esok.

Beliau berkata, ahli parlimen yang akan mengosongkan kerusi untuk memberi laluan kepada Anwar turut akan hadir dalam sidang akhbar itu.

“Pukul 11 pagi esok saya akan keluarkan ‘press alert’ mengenai pengumuman ini,” katanya selepas melawat keluarga mangsa runtuhan jambatan Taman Serdang di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, pilihan raya kecil itu tidak akan berlaku di Parlimen Pandan, iaitu kerusi dipegang Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sekarang.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah kepada PAS yang mengerahkan jenteranya di kawasan itu kerana menjangkakan Anwar akan bertanding di kerusi itu.

Beliau berkata, jentera parti itu mungkin boleh bekerja dari sekarang untuk memenangi hati rakyat di kawasan itu untuk pilihan raya umum ke-15 akan datang.

“Saya ucapkan tahniah ke atas PAS atas kerja keras mereka.”