Umno digesa bantu tubuh parti berbilang kaum tarik penyokong politik sederhana

Lokman Noor Adam yakin jika pakatan pembangkang boleh menubuhkan parti berbilang kaum dalam gagasan baru nanti, ia boleh menarik sokongan orang muda dan bukan Melayu semula.

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam mencadangkan Umno membantu Barisan Nasional (BN) bertukar menjadi parti berbilang kaum yang baru untuk menarik penyokong politik sederhana dan orang bukan Melayu.

Beliau berkata, pembaharuan itu penting bagi memastikan parti baru itu tidak terlalu Islamik dan liberal.

“Saya ingin mencadangkan BN itu sendiri ‘convert’ atau dijadikan sebuah parti politik yang menjadi sebahagian daripada komponen gagasan baru.

“Yang mana mungkin satu hari nanti kita boleh mewujudkan satu gagasan di mana di dalam itu ada MCA, MIC, Umno, PAS dan mungkin ada sebuah parti pelbagai kaum yang dipimpin seorang pemimpin Melayu, tetapi membuka keahlian kepada bukan Melayu,” katanya di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan bekas naib ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun yang mahu Umno tidak terlalu Islamik dan terbuka.

Semalam, Azwan dilaporkan berkata, kerjasama Umno dan PAS gagal meraih sokongan pengundi dalam pilihan raya kecil baru-baru ini, justeru beliau menggesa ia kembali kepada pendekatan sederhana yang boleh mendekatkan parti itu dengan golongan bukan Melayu.

Lokman yakin jika pakatan pembangkang boleh menubuhkan parti berbilang kaum dalam gagasan baru nanti, ia boleh menarik sokongan orang muda dan bukan Melayu semula.

Beliau mendakwa DAP berjaya mewujudkan persepsi sangat negatif terhadap Umno selama 61 tahun BN memerintah negara.

“Seolah-olah Umno ini menjaga orang Melayu sahaja, sebuah parti perkauman. Sedangkan selama 61 tahun Umno menunjangi BN, kita telah berjaya menjaga orang bukan Melayu dengan baik. Saya rasa kena ada pendekatan di luar kotak.”