Umno: Tindakan lepas kerusi untuk Anwar khianati kepercayaan rakyat

 

Bung Moktar Radin berkata, tiada jaminan Anwar akan menang dalam PRK kerana krisis dalaman PH dan kegagalan gabungan itu melaksanakan janji mereka dalam 100 hari pentadbiran. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Datuk Seri Bung Moktar Radin menyifatkan tindakan ahli Parlimen PKR mengosongkan kerusi mereka untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim memasuki Parlimen sebagai mengkhianati kepercayaan rakyat.

“Salah dari segi undang-undang, dari segi moral pun salah kerana mereka seolah-olah mempermain-mainkan pilihan raya,” kata timbalan ketua Umno Sabah itu ketika dihubungi FMT hari ini.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata demikian mengulas spekulasi PKR akan mengosongkan satu kerusi Parlimen pada minggu ini bagi memberi laluan kepada Anwar sebagai persediaan untuk beliau menjadi perdana menteri.

PKR dijangka membuat pengumuman berhubung perkara itu esok, selepas Anwar pulang dari Hong Kong.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, pilihan raya kecil (PRK) tidak akan berlaku di utara mahupun kerusi Parlimen Pandan yang dipegang Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Bung yang juga timbalan pengerusi Umno Sabah berkata, tiada jaminan Anwar akan menang dalam PRK itu nanti.

“Kalau dikira atas buku, populariti dan ketokohan Datuk Seri Anwar Ibrahim memang ada.

“Bagaimanapun, dia kena berhadapan faktor dalaman dan luaran sebab selaku pembangkang, Umno dan PAS akan meletakkan calon juga, mungkin kedua-dua parti ini akan melakukan strategi terbaik untuk mengalahkan calon Pakatan Harapan (PH).”

Beliau berkata, faktor lain ialah krisis dalaman PH dan kegagalan gabungan itu melaksanakan janji mereka dalam 100 hari pentadbiran.

“Yang dapat dia penuhi satu (janji) yang ketara, pemansuhan cukai barang dan perkhidmatan (GST), tapi dalam pemansuhan GST, negara berada dalam kegelapan, ekonomi merosot.

“Orang mengharapkan tol percuma, PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) dimansuhkan, macam-macam lagi tidak ada. Ini kesukaran bagi mana-mana calon PH di masa akan datang.”