Ahmad Badri kini KSU Perbendaharaan MOF

KSU Perbendaharaan baharu, Ahmad Badri (kanan) menerima nota serah tugas daripada Ismail Bakar hari ini. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan), Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir kini dilantik sebagai ketua setiausaha perbendaharaan, Kementerian Kewangan.

Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Ismail Bakar menerusi satu kenyataan berkata pelantikan Ahmad Badri berkuat kuasa hari ini.

“Saya percaya dengan pengetahuan, pengalaman dan kredibiliti yang dimiliki Ahmad Badri, beliau mampu melaksanakan tanggungjawab ini dengan berkesan untuk meneruskan visi Kementerian Kewangan sebagai peneraju strategik keberhasilan kewangan dan ekonomi bagi memastikan pertumbuhan mampan demi kemakmuran negara,” katanya.

Ahmad Badri sebelum ini bertugas sebagai pengarah Pejabat Belanjawan Negara, setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik dan timbalan setiausaha bahagian, Seksyen Pembiayaan, Bahagian Pinjaman, Pasaran Kewangan dan Aktuari di kementerian yang sama.