Australia bakal miliki kereta tanpa pemandu pada 2019

Kereta tanpa pemandu itu dikeluarkan syarikat kenderaan autonomi, NAVYA.

SYDNEY: Perth, ibu kota Australia Barat, bakal muncul sebagai bandaraya pertama di dunia melaksanakan ujian pemanduan kereta tanpa pemandu yang mendapat permintaan tinggi, dengan prototaip kenderaan itu dilancarkan pada Rabu, lapor agensi berita China Xinhua.

Selepas ujian pemanduan kereta itu selesai pada 2019, pengguna berdaftar bolehlah membuat tempahan bagi mendapatkan kenderaan tersebut untuk membawa mereka ke destinasi masing-masing menerusi aplikasi telefon yang serupa dengan panggilan kepada teksi biasa.

Dikeluarkan sebuah syarikat kenderaan autonomi, NAVYA, ia akan dilengkapi “caperon” yang boleh menghentikan kenderaan tersebut secara manual pada bila-bila masa yang diperlukan.

Kelab Automotif Diraja bertanggungjawab untuk menjalankan ujian pemanduan itu di Australia dan ketua eksekutifnya, Terry Agnew, berkata Perth adalah antara 3 bandaraya di dunia yang dipilih untuk menguji kenderaan tersebut.

“Bagaimana kita bergerak kini pesat berkembang, dan dengan menguji teknologi kenderaan yang baharu muncul di sini akan membantu kita menyesuaikan diri dengan semua perubahan ini dalam cara yang paling selamat,” katanya.

Kenderaan itu boleh memuatkan sehingga 6 orang dan memiliki kelajuan maksimum 90 km sejam, meskipun kelajuannya mungkin ditetapkan pada 50 km sejam semasa ujian pemanduan dilakukan.