BN beri bayangan MIC tak mesti bertanding Port Dickson

Mohamad Hasan berkata BN tidak lagi mahu terikat dengan aturan kerusi sebelum ini.

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) memberi bayangan MIC tidak semestinya akan bertanding pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson.

Timbalan Pengerusi Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Barisan Nasional tidak lagi mahu terikat dengan aturan kerusi sebelum ini.

Beliau ditanya sama ada MIC akan meletakkan calon selepas Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengumumkan beliau akan mengosongkan kerusi itu bagi membuka laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Dewan Rakyat.

“Kita nak lihat supaya kita meletakkan calon yang benar-benar boleh mendapat sokongan pengundi di kawasan tersebut,” katanya.

Danyal memenangi kerusi Parlimen Port Dickson dengan 36,225 undi pada 9 Mei lalu, menewaskan VS Mogan daripada Barisan Nasional (18,515 undi) dan calon PAS, Mahfuz Roslan (6,594 undi).

Danyal mengumumkan dia menghantar surat peletakan jawatan kepada speaker Dewan Rakyat hari ini. Pakatan Harapan dilaporkan mempunyai persefahaman iaitu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyerahkan kuasa kepada penggantinya, Anwar, selepas tempoh masa tertentu.

Anwar merupakan pilihan pertama gabungan itu untuk jawatan perdana menteri.

Mohamad mencadangkan majlis tertinggi BN bermesyuarat dengan segera dan menentukan sama ada gabungan itu mahu meletakkan calon, parti yang akan mewakilinya dan calon pilihan.

“Bagaimanapun saya cadangkan pandangan perhubungan negeri dan juga bahagian di Port Dickson perlu kita berikan keutamaan untuk memilih calon yang sesuai dan berkredibiliti untuk mewakili BN dalam PRK tersebut,” katanya.

Mohamad berkata BN juga akan berbincang dengan PAS bagi memastikan pertandingan 1 lawan 1 menentang PH.

“Persefahaman BN dan PAS ini kita lihat dalam keputusan PRU, parti mana pada PRU tersebut mendapat banyak undian dan juga kita mengkaji kemungkinan sokongan yang dapat daripada parti mana,” katanya.

Mohamad ditanya sama ada tidak ingin bertanding di Port Dickson memandangkan pengaruhnya sebagai bekas menteri besar Negeri Sembilan yang popular.

“Saya nak tumpukan kemungkinan wujudnya PRK DUN Rantau sebab sekarang ini dalam kes mahkamah.

“Hari ini hari pertama mahkamah mendengar perbicaraan penuh petisyen pilihan raya yang dibuat oleh PH. Jadi ada baiknya saya menumpukan kepada mempertahankan kerusi saya di DUN Rantau,” katanya.