Harga petrol: Najib gesa PH penuhi janji-janji ceramah

Datuk Seri Najib Razak. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak menggesa Pakatan Harapan tepat janji yang dibuat dalam ceramah dan kenyataan akhbar, selepas timbalan menteri berkata Putrajaya tiada rancangan menurunkan harga minyak ke RM1.50 seliter.

Bekas perdana menteri merujuk kepada kenyataan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah yang berkata menurunkan harga minyak ke RM1.50 tidak terkandung dalam manifesto pilihan raya gabungan itu.

Najib bagaimanapun mendakwa ada bukti video di mana PH berjanji harga petrol akan turun sehingga RM1.50 atau RM1.70 apabila menang pilihan raya.

“Jika anda berani membuat janji di depan muka pengundi bila berceramah, maka tepatilah janji itu.

“Yang tercatat jelas secara hitam-putih, janji seperti Kad Sihat Rakyat, mengembalikan royalti 20%, hapuskan hutang Felda pun mereka tidak tepati,” katanya di Facebook hari ini.

Najib seterusnya menyeru PH jangan ambil kesempatan ke atas rakyat yang tidak membaca buku manifesto mereka. “Janji-janji yang diberi dalam ceramah-ceramah ataupun kenyataan akhbar mereka juga patut ditepati.”

Terdahulu di Dewan Negara, Amirudin menjawab pertanyaan Senator Datuk Ng Chiang Chin mengenai jumlah subsidi minyak yang dibelanjakan dan rancangan kerajaan menurunkan harga minyak sehingga RM1.50 yang dikatakan dalam manifesto PH.

Amirudin berkata jumlah subsidi bagi RON95 dan diesel dari Mei hingga Julai lalu sebanyak RM1.667 bilion.

Beliau juga mengumumkan kerajaan mahu memansuhkan subsidi minyak secara pukal dan sedang mengkaji sistem subsidi bersasar, untuk pengguna motosikal 125cc ke bawah dan kereta 1300cc ke bawah pada kadar sesuai setiap bulan dan kuota.

Najib berkata pengundi PH akan “lebih parah” dengan pengumuman itu.

“Ini bermakna, harga petrol untuk rakyat yang lain tidak akan diberi subsidi tidak lama lagi dan harga petrol akan naik,” katanya.