‘Jika cuai, tindakan menanti pembina jambatan runtuh di Kedah’

Keadaan jalan yang merekah selepas kejadian jambatan runtuh di Serdang, Kedah, Selasa lalu. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terlibat dalam pembinaan jambatan di Serdang, Kedah yang roboh kelmarin, jika terbukti wujud unsur kecuaian di pihak mereka.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, Lembaga Jurutera Malaysia akan mendapatkan maklumat daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenai jurutera profesional (PE) yang bertanggungjawab, selain maklumat kontraktor serta pegawai terlibat dengan pembinaan jambatan tersebut.

Beliau juga mengesahkan jambatan runtuh itu bukan dibina atau di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR), sebaliknya di bawah bidang kuasa Majlis Daerah Kulim Bandar Baharu di Kedah.

“Tindakan undang-undang itu selaras Akta Pendaftaran Jurutera 1967 dan Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan 1994,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kejadian 10.15 malam Selasa lalu, Muhammad Haikal Hakimi Mohd Noor dan Mohamad Haziq Ishak, kedua-duanya berusia 17 tahun, maut apabila tertimbus dalam runtuhan jambatan itu.

“Berdasarkan siasatan awal, jambatan itu roboh apabila tanah pada struktur penampan jambatan itu runtuh dan berganjak sebelum jambatan itu menyembah bumi dan mengakibatkan paip air besar di jambatan itu pecah.

“Kementerian menegaskan dalam setiap projek yang dilaksanakan JKR, ia perlu dilaksanakan mengikut spesifikasi dan prosedur operasi standard (SOP) serta mengutamakan aspek keselamatan pengguna.”

Baru berkata, pembinaan jambatan baru menggantikan jambatan itu akan mengambil kira tahap aliran sungai, kawalan hakisan tebing, paras limpahan air sungai serta pelbagai aspek teknikal yang perlu dilakukan PBT.

Katanya, Bahagian Rekabentuk Jambatan dan Kejuruteraan Forensik, Cawangan Jalan, JKR sedang menyediakan laporan teknikal dan terperinci yang dijangka siap dalam 2 minggu.