Kes mayat bayi di peti ais: 12 Oktober untuk laporan DNA, bedah siasat

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen Selayang hari ini menetapkan 12 Oktober ini bagi sebutan semula kes untuk mendapatkan laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan bedah siasat Adam Rayqal Mohd Sufi Naeif, bayi 5 bulan yang mayatnya ditemui dalam bahagian sejuk beku peti ais, Julai lalu.

Hakim, Rasyihah Ghazali menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Ain Shafie memaklumkan laporan DNA dan bedah siasat mangsa belum diperoleh.

“Terdapat 2 lagi laporan belum disiapkan, laporan DNA dan laporan ‘post mortem’ (bedah siasat). Bagi laporan DNA, jurukimia berada di luar negara. Saya mohon tarikh sebutan lain untuk mendapatkan kedua-dua laporan tersebut,” kata Nurul Ain semasa sebutan semula kes itu.

Pada 13 Julai lalu, Noor Aqilah Abd Rahman, 33, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menganiaya bayi itu sehingga menyebabkan kecederaan pada kepala dan melupuskan mayat mangsa dengan menyembunyikan kematiannya.

Aqilah yang diwakili peguam Mohd Redzuan Mohamed Yusoff hadir di mahkamah dengan ditemani seorang wanita.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap bayi itu sudah menganiaya mangsa sehingga menyebabkan kecederaan pada kepala, mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Wanita itu juga dituduh melupuskan mayat Adam Rayqal dengan niat menyembunyikan kematian supaya dia terlepas daripada hukuman, mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 3 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh yang sebelum ini bekerja sebagai tukang masak di rumah sewanya, di Jalan Nakhoda Kiri 3, Batu Caves, antara 6.20 dan 6.50 petang, 3 Julai 2018.

Pada 3 Julai lalu, Adam Rayqal dilaporkan hilang dari rumah pengasuhnya di Kampung Nakhoda, Batu Caves di sini sebelum mayatnya ditemui anggota polis dalam bahagian sejuk beku peti ais di rumah sama, lewat malam hari kejadian.