Lawat sekolah daif Sarawak: Perasaan Maszlee bercampur baur

PETALING JAYA: Menteri Pendidikan Maszlee Malik melahirkan perasaan bercampur baur ketika mengadakan lawatan pertamanya ke sekolah daif di Sarawak baru-baru ini.

Maszlee Malik komited untuk memastikan sekolah daif di Sarawak diselesaikan dalam tempoh 5 tahun.”Pertama saya sedih lihat keadaan sekolah daif wujud di pinggir bandar walaupun kita (Kementerian Pendidikan) belum masuk ke kawasan pendalaman lagi.

“Di mana keadaan sekolah itu di tahun 2018, tetapi keadaanya sama seperti 40 tahun dahulu,” katanya dalam satu video yang diterima FMT susulan lawatannya ke beberapa sekolah daif di Sarawak.

Pada 6 September lalu, Maszlee melawat beberapa sekolah di kawasan Samarahan dan Simunjan, antaranya Sekolah Kebangsaan (SK) Terasi, SK Abang Man dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Sadong dan SMK Sadong Hilir.

Maszlee bagaimanapun turut merasa bersemangat apabila bertemu dengan guru yang mengajar di sekolah daif tersebut.

Katanya, walaupun keadaan dan fasiliti sekolah terbabit jauh ketinggalan tetapi gurunya tetap semangat untuk mengajar.

“Pelajar mereka dari kawasan luar bandar menunjukkan semangat belajar, malah ada antara mereka yang boleh membacakan sajak dalam bahasa Inggeris.

“Manakala ada juga mereka (pelajar) meminati Sains walaupun makmal mereka uzur tetapi mereka mempunyai bakat kepimpinan tinggi,” katanya.

Maszlee berkata beliau yakin jika kerajaan menyediakan prasaran yang lebih baik, mereka dapat menyelesaikan kualiti pendidikan.

Beliau juga akan memastikan isu kekurangan guru di Sarawak dapat diselesaikan segera.

“Guru-guru diberikan latihan berkualiti sehingga mereka dapat mendidik dan juga melatih anak murid, supaya mereka jadi golongan cemerlang dan dapat peluang lebih baik pada masa akan datang.

“Kita akan cuba bantu, sekolah-sekolah di Sarawak ini untuk dapat buku-buku berkualiti terutama buku bahasa Inggeris,” katanya.

Atasi kemiskinan melalui pendidikan

Maszlee berkata beliau yakin masalah kemiskinan di luar bandar di Sarawak boleh diselesaikan melalui pendidikan.

Katanya, jika anak-anak diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran lebih tinggi, pelajar daripada keluarga yang miskin dan bersekolah di luar bandar boleh berjaya dan mengubah keadaan ekonomi keluarga masing-masing.

“Saya dapati anak-anak di sekolah luar bandar dan daripada keluarga miskin berbakat, jikalau diberikan peluang ke sekolah berasrama penuh, sediakan segala fasiliti, infrastruktur yang baik, dan guru-guru kualiti, anak-anak ini akan jadi cemerlang.

“Bukan setakat akedemik semata-mata, tetapi juga di dalam pencapaian lain. Malangnya, kalau kita lihat peluang mereka dapat hari ini tidak seperti peluang yang ada di bandar-bandar atau di sekolah cemerlang atau sekolah asrama penuh,” katanya.

Maszlee juga menyarankan universiti di negara ini melonggarkan kelayakan bagi kemasukan pelajar luar bandar dan keluarga miskin.

Beliau berkata pelajar ini tidak boleh dibandingkan dengan anak orang kaya dan bersekolah di asrama penuh.

“Bagi mereka datang daripada keluarga kaya sudah tentu mereka pergi belajar di tuisyen, mendapatkan buku yang baik, dapatkan guru terbaik dan kalau di asrama penuh, mereka dapat guru baik untuk mengajar mereka.

“Tetapi, tidak anak-anak keluarga miskin, luar bandar dan juga daripada Sabah dan Sarawak ini, pada saya jika keputusan mereka tidak banyak A, seperti pelajar bandar tetapi diberikan peluang mendapatkan pendidikan berkualiti, mereka boleh menjadi pelajar cemerlang pada masa hadapan.”