Menteri: Rombak struktur dalaman DBKL, henti budaya pentingkan diri

Khalid Abdul Samad berkata, golongan profesional akan dilantik sebagai ahli lembaga penasihat DBKL, bukannya daripada kalangan ketua bahagian lagi.

SHAH ALAM: Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad berkata, struktur dalaman Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan dirombak semula bagi menghentikan budaya pagar makan padi orang Melayu tidak membantu kaum sendiri.

“Kita faham mereka (kakitangan DBKL) mengikuti budaya yang wujud dan kita mahu tamatkan dan mulakan dengan budaya baru.

“Kita (juga akan) pilih pemimpin, pentadbir-pentadbir yang boleh memainkan peranan seperti mana yang diinginkan.

“Saya rasa kalau ketua itu dah diubah dan kita dapat menunjukkan cara kerja yang baik, maka akhirnya semua boleh dipulihkan kembali,” katanya selepas sambutan Maal Hijrah di Madrasah Hidayah Seksyen 11, di sini, malam tadi.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin semalam yang berkata, kakitangan DBKL yang majoritinya orang Melayu gagal membantu kaum itu sendiri, sebaliknya menipu orang Melayu di ibu kota.

“Saya minta maaf. DBKL (dipenuhi) orang Melayu, tetapi tidak tolong orang Melayu. Tipu sama kita.

“Setiap pegawai DBKL dan juga lain-lain pejabat and majlis daerah, semua kaya. Dia tak pentingkan orang Melayu, dia pentingkan diri dia.

“Tidak mahu Melayu harapkan pagar, pagar makan padi. Tak cukup padi, tanah pun dia sapu, golongan ini kita tak mahu,” kata bekas menteri kewangan itu semalam.

Khalid yang juga ahli Parlimen Shah Alam berkata, DBKL sepatutnya membantu orang Melayu, tetapi mereka sebaliknya hanya membantu diri.

Katanya, negara mencapai kemerdekaan lebih 60 tahun, tetapi orang Melayu masih tidak dapat mencapai kedudukan diingini kerana budaya kerja mereka dirosakkan amalan rasuah.

“Yang pada mulanya tak seteruk (mana), tapi semakin lama semakin menjadi-jadi sehingga ianya menjadi satu budaya.”

Beliau berkata, ahli lembaga penasihat DBKL juga akan dilantik daripada kalangan profesional.

“Kita hentikan amalan memberi (jawatan ahli lembaga penasihat) kepada ketua-ketua bahagian.”

Mengenai calon datuk bandar Kuala Lumpur, Khalid berkata, pelantikan itu akan diumumkan pertengahan bulan ini.

“Sama ada orang yang masih (dalam) servis atau orang dah pencen, kita tengok orang-orang yang ada sifat-sifat, ciri-ciri yang kita perlukan untuk menentukan DBKL dapat dijalankan dan diuruskan (dengan baik).”