Oreo perisa wasabi dan kepak ayam pedas di China

Biskut tak semestinya berkrim konvensional dan mungkin atas dasar itu selain menepati citarasa tempatan biskut Oreo yang menjadi kegemaran ramai diperkenalkan dalam 2 perasa serba baharu iaitu wasabi serta kepak ayam.

Perkara itu diumumkan di Twitter oleh syarikat Mondelez Intl yang memasarkan biskut tersebut ketika majlis pelancarannya untuk pasaran China.

Apa yang pasti, pengumuman tersebut mengejutkan peminat Oreo dunia di samping ada yang kecewa kerana ia hanya boleh didapati di negara tersebut sahaja.

Apapun bagi mereka yang melawat negara tanah besar China, Oreo perisa wasabi dan kepak ayam ini boleh dijadikan buah tangan yang berbaloi ke rakan-rakan dan saudara-mara di Malaysia.

Ia juga boleh dibeli menerusi laman web eBay pada kadar harga $13.99 (RM58) hingga $23.99 (RM99) sekotak.

Perisa unik ini bukanlah sesuatu yang baharu kerana selain perisa seperti beri biru, mentega kacang, teh hijau dan coklat gelap di Malaysia, Oreo juga mengeluarkan perisa unik untuk pasaran Amerika Syarikat seperti cotton candy, Limeade, epal karamel, Root Beer float, swedish fish, peeps, waffles & syrup, dan cherry Cola.

Selain itu bagi pasaran negara lain turut ditemui perasa seperti ikan Swedish, churro, bertih jagung, kayu manis panas, labu dan banyak lagi perisa yang unik dan baharu.