Penjara Brazil diserang, lebih 100 banduan larikan diri

Penjara di Joao Pessoa itu menempatkan 680 banduan.

BRASILIA: Sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan di depan penjara di timur laut Brazil, menyebabkan lebih 100 banduan melarikan diri dan seorang anggota polis maut, demikian menurut pihak berkuasa.

Pegawai berkata serangan pada pagi Isnin itu dilakukan kira-kira 20 orang yang menaiki 4 kenderaan dan menggunakan bahan letupan untuk merosakkan pintu depan penjara Romeu Goncalves Abrantes.

Seorang anggota polis yang ditembak dalam serangan itu meninggal dunia di hospital.

Tiada kematian atau kecederaan lain dilaporkan setakat ini. Penjara yang menempatkan 680 banduan itu terletak di Joao Pessoa, ibu negara Paraiba.

Menjelang tengah hari, 41 daripada 105 banduan berjaya ditangkap semula dan kawalan ketat dijalankan di sekolah dan pusat perubatan sebagai langkah berjaga-jaga.

Brazil mempunyai populasi penjara ke-3 paling ramai di dunia, dengan 726,712 banduan pada Jun 2016, menurut statistik rasmi.

Disebabkan penjara yang sesak, keadaan di pusat tahanan itu sering berdepan masalah keganasan oleh geng banduan selain rusuhan dan percubaan melarikan diri.