Pesara tentera bantah bekas pegawai TLDM lepas kerusi kepada Anwar

Mohamed Arshad Raji berkata, Danyal Balagopal Abdullah perlu dikekalkan sebagai ahli Parlimen Port Dickson untuk menyuarakan isu berkaitan tentera dan kebajikan veteran.

PETALING JAYA: Kumpulan veteran Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) memberi amaran tindakan PKR meminta Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah melepaskan kerusinya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin menyebabkan undi bantahan terhadap presiden PKR itu.

Presidennya, Datuk Mohamed Arshad Raji berkata, tindakan itu juga boleh membawa impak negatif kepada calon tentera dalam pilihan raya akan datang.

Ini kerana, katanya, veteran gembira dengan kemenangan Danyal di Port Dickson pada pilihan raya umum 9 Mei lalu dan berharap beliau boleh mengisi kekosongan ditinggalkan bekas ahli Parlimen Lumut, Mohamad Imran Abd Hamid yang juga laksamana pertama.

“Kami faham keputusan untuk mengosongkan mana-mana kerusi ialah hal dalaman parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“(Tetapi) pucuk pimpinan PKR perlu memahami kehadiran veteran tentera di Parlimen disokong ribuan veteran dan dianggap wakil mereka, serta suara yang mereka boleh harapkan dalam perkara menjejaskan veteran.”

Sumber PKR yang dipetik FMT berkata, Anwar akan bertanding di Port Dickson dalam misinya memasuki Parlimen.

Danyal yang merupakan bekas pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), memenangi kerusi Parlimen Port Dickson dengan 36,225 undi pada 9 Mei lalu, menewaskan VS Mogan daripada Barisan Nasional (18,515 undi) dan calon PAS, Mahfuz Roslan (6,594 undi).

Arshad berkata, jika benar Danyal akan meletak jawatan untuk memberi laluan kepada Anwar, Patriot menganggap PKR tidak mementingkan veteran dan petanda parti itu tidak menghargai kehadiran pesara tentera sebagai wakil rakyat.

“Patriot berpendapat Danyal perlu kekal sebagai ahli Parlimen untuk menyuarakan isu berkaitan tentera dan kebajikan veteran yang sering diabaikan.”

Katanya, rakyat merasa letih selepas pilihan raya umum 9 Mei lalu yang disusuli 3 pilihan raya kecil.

“Jika satu lagi pilihan raya kecil perlu diadakan, Patriot menggesa kepimpinan PKR membenarkan kerusi Port Dickson kekal dengan penyandangnya dan Anwar bertanding di kerusi lain.”