PRK PD: Khairy cadang anak tempatan lawan Anwar

Khairy Jamaluddin berkata beliau berbangga terdapat calon perdana menteri dari Negeri Sembilan.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin mencadangkan Barisan Nasional (BN) meletakkan Adun Linggi Datuk Abdul Rahman Mohd Redza dalam pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson bagi menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bekas ketua pemuda Umno itu berkata, calon tempatan merupakan calon sesuai memandangkan Abdul Rahman masih lagi muda, mempunyai prestasi yang baik dan peguam lulusan London School of Economics.

“Saya ada sedikit pengalaman politik di Negeri Sembilan. Port Dickson atau dulu Teluk Kemang lebih baik diwakili calon tempatan. Walaupun sukar untuk BN menang, lebih baik calon tempatan.

“Adun 2 penggal itu mempunyai prestasi baik,” katanya di Twitter.

Khairy berkata demikian walaupun terdapat cadangan yang meminta bekas menteri besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan sebagai calon bagi menentang presiden PKR itu.

Secara berseloroh, Khairy berkata beliau berbangga terdapat calon perdana menteri dari negeri berkenaan dengan berkata, “Den banggo waghih kito jadi podano montoghi nanti”.

Penyandang kerusi Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengumumkan peletakan jawatan dan memaklumkan surat peletakkan jawatan sudah dihantar kepada speaker Dewan Rakyat hari ini.

Danyal memenangi kerusi Parlimen Port Dickson dengan 36,225 undi pada 9 Mei lalu, menewaskan VS Mogan daripada Barisan Nasional (18,515 undi) dan calon PAS, Mahfuz Roslan (6,594 undi).

Sementara itu, Mohamad memberitahu FMT, BN memberi bayangan MIC tidak semestinya akan bertanding dalam PRK kali ini.

“Kita nak lihat supaya kita meletakkan calon yang benar-benar boleh mendapat sokongan pengundi di kawasan tersebut,” katanya.