SPRM temui Daim siasat jualan 91 tanah diragui

Tiga pegawai SPRM menaiki kereta meninggalkan Menara Ilham selepas pertemuan 30 minit dengan Daim Zainuddin hari ini.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiba di pejabat Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaann (CEP), Tun Daim Zainuddin berhubung jualan 91 tanah diragui di bawah kerajaan terdahulu.

Tiga pegawai SPRM tiba di Menara Ilham pada 10.40 pagi tadi dan meninggalkan bangunan itu 30 minit kemudian.

Ia susulan kenyataan Daim semalam yang berkata, pihaknya sudah menyerahkan hasil siasatan jualan 91 lot tanah yang meragukan kepada SPRM.

“(Jualan) tanah di Kuala Lumpur ini ada lebih kurang 91 kawasan. Ada (Dewan) Bandaraya (Kuala Lumpur, DBKL) bagi, ada yang pejabat tanah bagi.

“Jika ada kesalahan (dalam transaksi tanah), SPRM akan ambil tindakan. Saya juga sudah bincang dengan menteri wilayah, sama ada nak ambil balik (tanah itu).

“Ada juga pihak yang sanggup serah balik, contohnya ada sebuah syarikat yang dapat 8 (lot tanah),” katanya semalam.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng dan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh membuat laporan bagi menggesa SPRM menyiasat penjualan 64 lot tanah oleh DBKL antara 2014 hingga 2018 kepada syarikat tiada pengalaman dalam pembinaan dan tanpa tender terbuka.

Mereka turut menggesa pengurusan tertinggi Yayasan Wilayah Persekutuan yang didakwa terbabit dalam pembelian tanah itu disiasat SPRM berhubung peranannya dalam penjualan tanah berkenaan.

Lim turut mendakwa 171 hektar tanah di ibu kota dijual secara berperingkat sejak 2013 pada harga RM4.28 bilion.