Ulama ajak pengunjung kelab malam di Bali berselawat

Pengunjung sebuah kelab malam di Bali diajak mengalunkan selawat ke atas Nabi Muhammad.

PETALING JAYA: Seorang ulama Indonesia mengajak pengunjung sebuah kelab malam di Bali berselawat ke atas Nabi Muhammad bersamanya, lapor portal DetikNews.

Video yang tersebar di media sosial menunjukkan ulama yang dikenali sebagai Gus Miftah berdiri di atas pentas sambil mengalunkan selawat.

Manakala pengunjung yang berpakaian seksi berada di bawah pentas turut mengalunkan selawat tersebut.

“Dunia serta isinya diciptakan Allah kerana cahaya Muhammad. Kalau mahu mendapatkan dunia seisinya, banyakkan berselawat kepada Nabi Muhammad.

“Saudaraku, orang yang baik dan jahat itu bezanya satu, orang baik pernah berbuat jahat dan orang jahat pasti pernah berbuat baik. Jangan hakimi mereka tetapi doakan mereka,” tulis Gus Miftah di Instagram memetik laporan itu.

Video tersebut mendapat pelbagai respon pengguna media sosial beragama Islam.