Umno hati-hati jika mahu ‘kahwin’ dengan PAS

Pilihan raya kecil (PRK) Balakong dan Seri Setia sangat menarik perhatian. Bukan yang menang atau yang kalah, tetapi hujah yang digunakan ketika mengulas kemenangan dan kekalahan tersebut.

Yang menang tetap menang dan yang kalah tetap kalah. Walaupun dengan 1 undi. Itulah sistem “westminster” yang kita warisi. Yang kalah harus belajar menerima kekalahan. Yang menang pula jangan angkuh kerana amanah perlu digalas selepas pasca kemenangan itu.

Tetapi mungkin dah jadi budaya Malaysia sejak dulu lagi, “Kurang-kurang bubur lebih-lebih sudu”.

PAS paling cepat bertempik. PAS kata mereka dah berjaya menggandakan sokongan mereka di Seri Setia berbanding PRU14. Pada PRU14, 4,000 lebih dan hilang deposit, di PRK pula 9,000 lebih.

Dr Halimah Ali berterima kasih kepada Umno dan kepimpinannya kerana turun padang membantu PAS mencapai kemenangan berlipat ganda itu. Beliau teruja dengan Pemuda dan Wanita yang bertudung merah meredah hujan untuk memenangkan PAS.

Pengarah pilihan raya PAS Selangor pula menyatakan prestasi yang memberangsangkan itu hasil dari kerjasama yang erat dan efektif bersama Umno.

Anehnya, Halimah menyatakan kerjasama Umno-PAS ini adalah “permulaan” sedangkan umum tahu kerjasama itu dijalin sebelum PRU14. Dan topik ini akan dibawa ke Muktamatr PAS di Terengganu, Oktober ini.

Seharusnya sikap ini membuka mata Umno tentang sikap PAS sebenarnya. Kata orang, kalau nak tahu perangai sebenar, tanyalah pada musuhnya.

Dah yang tahu selok belok luar dalam PAS, tidak lain dan tidak bukan ialah DAP dan PKR yang menjadi rakan seperjuangan mereka sejak zaman Gagasan serta barisan alternatif dulu. Dan yang lebih tahu adalah pemimpin Amanah sekarang yang merupakan bekas pemimpin PAS yang disingkirkan.

PAS terbukti bukan “team player”. PAS sangat individualistik mementingkan diri sendiri. PAS hanya nak jadi ketua, tidak boleh jadi pengikut. PAS hanya nak “power” dan “control”. Itu dakwaan mereka yang pernah berjuang dengan PAS.

Di DUN Sungai Kandis, Umno bertanding. Calonnya orang Melayu Islam ahli Majlis Tertinggi. Tetapi PAS tidak membantu sepenuh hati. Hulubalangnya pun tidak turun berkempen secara “all-out”. Tidak seperti penyertaan Umno di Seri Setia.

Umno kalah teruk di Sungai Kandis. Bukan kerana kekuatan calon dan PKR, tetapi kerana ramai orang PAS tidak keluar mengundi menyokong calon Umno ketika itu.

Tak tahu kenapa. Apakah kerana Umno atau calon Umno itu? Sokongan mereka ibarat tanam tebu di tepi bibir sedangkan pengikut PAS tidak dikerah bersungguh-sungguh.

Begitu juga semasa menjadi ahli komponen blok pembangkang Pakatan Rakyat (PR). Banyak cerita tentang keputusan majlis presiden di veto di luar mesyuarat.

Pernah bekas timbalan presiden PAS Mohamad Sabu dihantar ke Mesyuarat Majlis Presiden, tetapi presidennya veto keputusan tersebut setelah timbalan presiden pulang melaporkan hasil mesyuarat.

Klimak kepada kecurangan dan pembelotan PAS terhadap PR adalah apabila PAS meletakkan calon bertanding di DUN Kota Damansara dan DUN Bukit Besi walaupun PR bersetuju dengan pembahagian kerusi DUN dan Parlimen yang menyebabkan Umno menang di kedua-dua kerusi tersebut walaupun jumlah undi PKR dan PAS melebihi Umno.

Banyak lagi kerenah PAS. Sikap pemimpin PAS ini sama sahaja dengan pemimpin akar umbinya. Di peringkat masyarakat, mereka hendak “control” masjid dan menjadikannya masjid medan politik untuk lebai PAS mengindoktrinasi dan pecah-belahkan masyarakat.
Program masyarakat dan bajet peringkat ahli Majlis juga banyak yang dijadikan program parti untuk mempromosi PAS dan ahlinya.

Umno harus berhati-hati jika hendak berkahwin dengan PAS. Perkenalan di Sungai Kandis belum cukup matang dan “perkahwinan” di Seri Setia itu satu yang perlu difikirkan masak-masak walaupun mungkin telah lahir anak yang bernama Halimah.

Jangan jadikan perkahwinan ini perkahwinan mutaah atau “marriage of convenience” yang merugikan Umno akhirnya.

Sudah ada penganalisis politik yang mengatakan Umno hanya mendapat kerak dalam hubungan dengan PAS. Yang pasti PAS bukanlah teman yang jujur untuk Umno berbaik dan bekerjasama. PAS akan ceraikan bila mereka tidak perlukan Umno lagi.

Dari PRU14 dan 3 PRK, Umno tidak akan menang melalui kerjasama dengan PAS. Malah merugikan Umno seperti di Terengganu dan Kelantan.

Umno tidak akan menang kalau terus mengassobiyahkan Melayu dan menfanatikkan Islam sempit ala PAS. Dunia berubah, begitu juga Malaysia.

Walaupun teras Umno adalah Melayu dan Islam, Umno harus membuktikan yang Umno itu inklusif berada di garis tengah menjiwai dan mendepani perjuangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Umno harus menguatkan kembali Barisan Nasional (BN) bersama MCA dan MIC yang baharu. Bukan buang masa dengan PAS. Itu pun kalau Umno hendak terus hidup pada PRU15.

* Yunus Tasim seorang pembaca FMT.

* Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.