1MDB: Polis belum boleh pulangkan barang rampasan

Penguatkuasa undang-undang diperuntukkan setahun untuk menjalankan siasatan ke atas harta-harta alih atau tidak alih yang disita.

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata gesaan sesetengah pihak supaya polis memulangkan barangan rampasan berhubung skandal 1MDB tidak dapat dilakukan.

Beliau juga memberi keyakinan kes di bawah Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang bermula Mei tahun ini akan selesai dalam tempoh setahun.

“Serbuan dibuat ke atas 5 buah premis dan tindakan penyitaan di bawah Seksyen 45(2) AMLATFPUAA 2001 terhadap barang-barang seperti wang tunai RM114 juta, 566 unit beg tangan, 437 utas jam tangan dan 234 unit cermin mata pelbagai jenama.

“Mengikut peruntukan di bawah AMLATFPUAA 2001, pihak penguatkuasa undang-undang adalah diperuntukkan selama setahun untuk menjalankan siasatan ke atas harta-harta alih atau tidak alih yang disita.

“Semua barangan rampasan yang disita masih diperlukan polis untuk melengkapkan siasatan. Sitaan barangan rampasan ini dilakukan kerana ada alasan munasabah bahawa barangan ini adalah hasil perolehan haram untuk kes 1MDB,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Sebelum ini, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta polis memulangkan baki sumbangan kempen dan dana pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang dirampas pihak berkuasa dan menyifatkan dana itu amat diperlukan untuk proses membina semula parti.

Mengulas lanjut, Noor Rashid berkata sewaktu siasatan dilakukan, sejumlah AS$972 juta atau RM2.973 bilion didapati dimasukkan ke dalam akaun individu disiasat melalui beberapa fasa dan polis juga sudah mengenalpasti individu yang menerima wang daripada transaksi ini.

“Lebih 50 orang saksi terlibat dan tindakan untuk merakamkan percakapan mereka diambil. Hingga kini pihak AMLA yang jalankan siasatan dalam kes penggubahan wang haram belum menerima tuntutan rasmi daripada pihak terlibat walaupun beberapa kenyataan akhbar berkaitan isu wang tunai dibangkitkan,” katanya.

Noor Rashid bagaimanapun enggan menamakan secara spesifik individu disiasat, namun memaklumkan terdapat sejumlah ahli politik terlibat dan dipanggil dalam siasatan termasuk beberapa individu dari dalam dan luar negara.

Malah, Noor Rashid tidak menolak kemungkinan 50 individu yang disiasat ini akan turut ditahan dan dituduh dibawah Akta AMLA.

“Kami yakin siasatan dapat disiapkan tetapi masanya tidak dapat ditentukan, saya cuma berharap negara luar akan berikan perkhidmatan. Antara negara yang sudah membantu ialah Singapura, Switzerland dan Arab Saudi.

“Kita sudah memohon Bantuan Undang-undang Bersama (MLA) dari negara luar dan disebabkan itu ia sedikit susah dan memakan masa. Kita tidak boleh hantar anggota untuk terus berkas mereka di luar negara. Ia proses antara 2 negara,” katanya.

Terdahulu, bekas ketua audit negara, Tan Sri Ambrin Buang menyuarakan kesediaan menjadi saksi berhubung siasatan semula skandal 1MDB.

Ambrin yang dilantik sebagai pengerusi Jawatankuasa Siasatan Khas Isu Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Negara di Kementerian Kewangan, berkata beliau akan memberi kerjasama penuh berhubung kes itu.