Ada cubaan mengehadkan Islam, amaran mursyidul am PAS kepada ahli

Mursyidul Am Hashim Jasin berucap kepada perwakilan ulama di Kuala Terengganu. (Gambar Bernama)

KUALA TERENGGANU: Pemimpin utama PAS memberi amaran kepada ahli tentang cubaan mengehadkan Islam di Malaysia, mengatakan terdapat seruan mengurangkan peranan Islam dalam ruangan awam selepas kemenangan Pakatan Harapan pada pilihan raya umum Mei lepas.

Hashim Jasin ketika berucap kepada perwakilan ulama PAS di perhimpunan agung parti itu di Kuala Terengganu berkata, kini terdapat “suara-suara songsang” menyeru Islam dikeluarkan daripada tadbir urus serta memansuhkan institusi-institusi Islam.

Hashim menuduh pemimpin DAP di belakang gerakan “Kristianisasi” untuk menguasai politik dan ekonomi negara, dan menambah parti itu pencatur utama usaha menyekat Islamisasi.

Beliau juga menyalahkan golongan yang berpegang pada agenda “liberal” dan “sekular” atas nama demokrasi dan hak asasi manusia.

“Mereka persoalkan apa saja hukum Islam yang diamalkan di negara ini. Dalam kalangan mereka telah bersuara supaya institusi pendidikan agama dihapuskan, dan mereka mahu sekularisme terus dikekalkan dan tidak mahu agama dilibatkan dala tadbir urus,” katanya.

Hashim berkata sejak pilihan raya umum Mei lepas, gerakan anti-Islam membiak semula melalui saluran undang-undang.

Beliau memberi contoh ajaran Syiah yang “semakin berkembang” dan gerakan seperti Sisters in Islam dan G25 semakin lantang.

“Kita dapati gabungan pemerintah sekarang, termasuk yang mewakili orang Melayu-Islam, gagal main peranan mempertahankan maruah Islam, dan tak mampu angkat martabat Islam ke kedudukan sepatutnya,” tambahnya.

‘Ahli Umno bukan musuh’

Hashim juga menggesa ahli PAS menggunakan keadaaan Umno yang lemah hari ini sebaik-baiknya dengan mendekati ahli dan penyokong parti itu dan “bawa mereka balik ke Islam”.

“Kita sedar keburukan politik oleh Umno sepanjang 60 tahun dalam kerajaan, tetapi dengan jiwa terbuka kita harus berusaha membetulkan kefahaman pimpinan dan ahli Umno terhadap Islam dengan mendekati mereka,” katanya.

“Kita tidak boleh bersikap keras dengan lawan politik yang juga beragama Islam, semata-mata rekod kejahilan mereka, pemikiran sekular dan juga catatan amalan korupsi.”

Hashim mengalu-alukan kerjasama rapat yang ditunjukkan Umno dan PAS dalam pilihan raya kecil Sungai Kandis dan Seri Setia, di mana setiap parti beri laluan demi perpaduan pembangkang.

Beliau berkata hakikat politik semasa mendesak orang Melayu bersatu bawah agenda Melayu-Islam.

Hashim berkata Umno yang lemah akan membolehkan parti itu menginsafi kesalahan masa lalu.

“Umno perlu dilemahkan tetapi untuk apa? Untuk diinsaftkan…bukan untuk tujuan politik,” katanya.

Beliau berkata sejarah menunjukkan kedua-dua parti itu masih boleh bersatu walaupun ada ketegangan antara mereka.

Beliau berkata PAS pernah bersetuju menyertai Perikatan yang dipimpin Umno demi kepentingan Melayu-Islam selepas rusuhan kaum 1969.

“Para ulama bahas panjang lebar tentang hukum kerjasama politik PAS-Perikatan, akhirnya mengharuskannya dengan syarat-syarat ketat,” katanya.

Beliau berkata kerjasama diadakan walaupun pemimpin PAS ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

“Ia pertimbangan politik bagi memastikan kelangsungan politik Islam di negara ini dipertahankan,” katanya.