Anwar bertanding PRK diputus biro politik parti, kata Saifuddin

Saifuddin Nasution Ismail menjawab persoalan Zuraida Kamaruddin tentang keputusan Anwar Ibrahim bertanding dalam PRK Port Dickson.

KUALA LUMPUR: Keputusan untuk Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat biro politik parti, dan bukannya dibuat tanpa mesyuarat seperti mana didakwa.

Mengulas kenyataan Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin yang mempersoal ketelusan proses membuat keputusan parti itu seperti dilapor media, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata kritikan itu tidak harus timbul kerana Zuraida sendiri merupakan ahli biro politik berkenaan.

“Berapa kerap biro politik bermesyuarat? Setiap minggu setiap hari Selasa 8.30 malam. Apakah tajuk tentang memilih kawasan yang akan ditandingi Anwar dibincangkan? Ya. Diputuskan dalam biro politik? Ya,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan penyampaian Anugerah Harta Intelek Negara 2018, hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengumumkan beliau mengosongkan kerusi berkenaan bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding di kawasan Parlimen itu.

Zuraida dalam reaksi kepada pengumuman berkenaan melahirkan rasa khuatirnya dan dilapor sebagai berkata sekiranya proses membuat keputusan tidak dijalankan secara terbuka, telus dan demokratik, ia akan mewujudkan kekeliruan dalam kalangan rakyat dan seolah-olah memperlihatkan PKR dimanipulasi oleh kelompok tertentu.