Bekas pengerusi SPR pertahan langkah kosongkan kerusi untuk Anwar

Abdul Rashid berkata, perbuatan mengosongkan kerusi tidak selalu berlaku dan dalam kes ini ia dilakukan untuk tujuan yang serius. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan raya kerajaan mempertahankan keputusan Ahli Parlimen Port Dickson mengosongkan kerusinya bagi membolehkan presiden PKR yang dipilih, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di situ.

Bercakap kepada FMT, bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, Datuk Danyal Balagopal Abdullah tidak perlu dihalang daripada membuat “pengorbanan yang baik” yang “memberi manfaat kepada negara”.

Danyal memaklumkan keputusannya itu semalam dan berkata beliau telah menghantar surat peletakan jawatan kepada speaker Dewan Rakyat.

Sebilangan pengguna media sosial menyokong langkah itu, tetapi sebahagian yang lain menyifatkannya sebagai mengkhianati kepercayaan pengundi dan pembaziran wang awam.

Abdul Rashid, yang mengelak isu kos ke atas pembayar cukai berkata, perbuatan mengosongkan kerusi tidak selalu berlaku dan dalam kes ini ia dilakukan untuk tujuan yang serius.

“Ia melibatkan pemimpin tertinggi parti yang perlu masuk ke dalam sistem,” katanya. “Kita perlu membenarkannya kerana ia bermanfaat kepada negara.”

Beliau juga menolak pendapat yang mahukan satu undang-undang digubal untuk menghalang Ahli Parlimen mengosongkan kerusi bagi memberi laluan kepada orang lain dengan berkata, langkah sedemikian akan menafikan hak demokratik rakyat.

Terdahulu Persatuan Patriot Kebangsaan mengingatkan tentang kemungkinan tindak balas buruk daripada bekas tentera sekiranya Danyal mengosongkan kerusi kerana beliau dilihat sebagai wakil bagi puluhan ribu bekas tentera lain.

Bagaimanapun menurut Danyal, sebagai perdana menteri menanti, Anwar tidak seharusnya terus “membuat bising dari luar” dan perlu berada di dalam sistem secepat mungkin.

Danyal memenangi kerusi Parlimen Port Dickson dalam pilihan raya umum Mei lepas mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk V S Mogan dan calon PAS Mahfuz Roslan.

Semalam PKR mengumumkan Anwar akan bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson bagi membolehkan beliau menjadi Ahli Parlimen dan perdana menteri kelapan.

PRK mesti diadakan dalam tempoh 60 hari berikutan kekosongan kerusi.