Bukan Islam boleh persoal hukuman sebat, kata Wan Ji

Wan Ji Wan Hussin.

KUALA LUMPUR: Seorang penceramah bebas berkata tidak menjadi kesalahan jika orang bukan Islam mempersoalkan hukuman sebat terhadap 2 wanita yang didapati bersalah cuba melakukan hubungan seks sejenis di Terengganu.

Wan Ji Wan Hussin berkata Al-Quran tidak melarang makhluk ciptaan Allah daripada bertanya, bagaimanapun penghinaan harus dielakkan.

Ini diguna pakai untuk semua orang, tanpa mengira mereka Islam atau sebaliknya, katanya.

“Mempersoalkan tidak salah. Bagi mereka yang tidak membenarkan ia mempersoalkan, masalahnya adalah mereka sendiri, bukan Islam,” katanya selepas forum mengenai sebatan di khalayak umum bertajuk “Sebatan di khalayak ramai: Sejauh mana Islamiknya”.

“Masalah ini berlaku apabila ada sesetengah ulama kita tidak bersedia menjawab soalan yang sukar,” katanya.

Beliau berkata sebatan ke atas kedua-dua wanita itu boleh dipersoalkan kerana hukuman itu tidak terdapat di dalam Al-Quran atau hadis, tetapi berdasarkan pandangan hakim mahkamah syariah.

Beliau menambah hukuman itu disesuaikan berdasarkan hukuman bagi kesalahan zina di mana ia berbeza dengan hubungan sejenis.

“Jadi dalam konteks ini, tidak salah untuk dibincangkan atau dikritik, dan tidak salah bagi orang bukan Islam membantahnya.”

Dalam menangani isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), beliau menambah, apa yang tidak terkandung dalam Al-Quran tidak boleh didakwa seperti itu.

“Kita perlu meraikan pandangan majoriti, tetapi pada masa yang sama kita tidak boleh menafikan kewujudan pandangan minoriti.”

Matlamat akhir, katanya, adalah untuk membangunkan masyarakat yang lebih baik tanpa permusuhan, diskriminasi atau penafian hak.

Sementara, aktivis Fadiah Nadwa Fikri berkata rakyat perlu mempersoalkan mereka yang berkuasa ke atas hukuman sebat itu.

“Kita mesti mula mempersoalkan bagaimana mereka yang berkuasa menggunakan isu ini untuk terus berkuasa atau mendapat kuasa.

“Ia untuk mempertahankan golongan terpinggir dan tertindas, dan membina masyarakat yang menegakkan rasa belas kasihan dan keadilan.”

Fadiah, yang merupakan panel forum itu berkata, ahli politik kedua-dua belah pihak akan terus mengeksploitasi isu itu, menyebabkan orang ramai membuat perbincangan mengenai isu tersebut.

“Setiap orang mempunyai kewajiban untuk membincangkannya, bukan hanya Islam tetapi semua orang yang percaya untuk menegakkan prinsip keadilan dan belas kasihan.”

Pada 3 September lalu, kira-kira 100 orang menyaksikan sepasang kekasih lesbian masing-masing berumur 22 dan 32 tahun dihukum sebat di Mahkamah Syariah Kuala Terengganu.

Hukuman sebat itu yang pertama kali dilaksanakan di negeri tersebut dijalankan oleh Jabatan Penjara Malaysia.