Cepatnya pendakwaan terhadap Shafee, kata Najib

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan pertuduhan terhadap Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, mengatakan ia berlaku beberapa hari selepas peguam itu mendedahkan Tun Dr Mahathir Mohamad mahu dia mengetuai pendakwaan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perbicaraan liwat 4 tahun lalu.

“Cepatnya pendakwaan menindas terhadap Shafee mencetuskan persoalan kerana ia dilakukan beberapa hari selepas Shafee mendedahkan secara jelas perdana menteri hari ini yang mengarahkan beliau dilantik sebagai ketua pendakwaan dalam perbicaraan kes liwat Anwar, satu fakta yang masih tidak dinafikan oleh Dr Mahathir, pembantu peribadi yang mengatur pertemuan itu atau bekas peguam negara ketika itu,” kata Najib dalam kenyataan.

Shafee hari ini didakwa atas 4 pertuduhan bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram berhubung RM9.5 juta yang dibayar kepadanya oleh Najib.

Peguam terkenal itu adalah peguam Najib dalam kes pengubahan wang, rasuah dan pecah amanah, berkaitan RM42 juta yang dipindahkan ke akaun banknya.

Najib berkata RM9.5 juta yang dibayar kepada Shafee itu untuk khidmat guamannya kepada Umno dan demikian itu pendakwaan tersebut boleh dilihat langkah untuk menakut-nakutkan atau menghalang Shafee, dan juga duluan yang berbahaya.

“Membuat dakwaan terhadap Shafee kerana menerima pembayaran bagi khidmat guamannya adalah satu duluan perundangan yang berbahaya buat semua peguam, ahli profesional dan perniagaan,” kata bekas perdana menteri.

“Peguam berkhidmat dengan yuran dan mereka berhak menerima pembayaran atas khidmat yang sudah disempurnakan.”

Najib berkata RM9.5 juta yang dibayar kepada Shafee itu daripada sumbangan politik yang diterimanya daripada kerajaan Arab Saudi dan seorang putera yang mewakili Raja Abdullah.

Najib juga tertanya mengapa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum menemubualnya tentang pembayaran itu.

“Ini bermakna siasatan masih lagi belum lengkap sebelum Shafee dituduh di mahkamah,” katanya.