Di rumah panjang, Hari Malaysia disambut mulai Ogos

Setiap kali tibanya hujung Julai, Michael Jarop adalah antara individu paling sibuk di Rumah Panjang Anthony Bau yang terletak di kawasan pedalaman Sarawak iaitu di Nanga Sugai, Rantau Tapang, Mujok di Julau.

Sebagai setiausaha rumah panjang berkenaan, bapa kepada 4 orang anak itu memainkan peranan penting dalam menghiasi penempatan yang didiami 128 penduduk suku kaum Iban itu, agar berubah wajah menjadi lebih kelihatan ‘patriotik’ berbanding sebelumnya.

Biasanya, Michael, 45, mengumpulkan seberapa ramai pemuda dan remaja untuk bersama-sama dengannya menghias rumah panjang itu dengan ratusan bendera sempena meraikan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

“Suasananya sangat meriah walaupun duduk jauh dari bandar, kami tetap meraikan kedua-dua hari yang bermakna itu. Tetapi, tahun ini sambutan bermula lambat sikit kerana berlaku kematian dan ada pantang larang yang kena ikut.

“Kalau tidak, setiap kali tiba sahaja hujung bulan Julai, memang sepanjang ruai ini sudah penuh dengan bendera Malaysia dan Sarawak, yang digantung dan dihias di dinding dan siling rumah,” katanya kepada Bernama.

Berkesempatan menemui beliau semasa mengikuti Misi Klinik Bergerak anjuran UMW Corporation Sdn Bhd (UMW) dengan kerjasama Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) baru-baru ini, penulis mengambil peluang bertanyakan mengenai sambutan hari penting negara itu di kawasan pedalaman ini.

Bagaimanapun, memandangkan baru saja berlaku kematian 4 hari sebelum kunjungan kami ke rumah panjang berkenaan, maka acara meraikan tetamu seperti tarian Ngajat yang biasa dipersembahkan juga dilarang sebagai menghormati keluarga mendiang.

Larang hiburan

Michael memberitahu pantang larang itu berlangsung selama 2 minggu bermula dari tarikh kematian dan sepanjang tempoh berkenaan mereka bukan sahaja tidak dibenarkan menghiasi rumah atau memasang bendera bahkan juga segala bentuk hiburan turut dilarang termasuk menonton televisyen.

“Memang kami ingin pasang, tetapi selepas 2 minggu baru boleh hias bendera di rumah ini.

“Kami tidak hanya pasang bendera Malaysia dan Sarawak tapi bendera negeri-negeri lain di Semenanjung seperti Johor, Kelantan, Pulau Pinang dan lain-lain. Bukan dalam rumah tapi dinding luar rumah (bendera Semenanjung),” katanya.

Melihat semua bendera berkibar megah di rumah panjang itu, beliau berkata sedikit sebanyak menyemarakkan semangat dan rasa cinta kepada negara yang bernama Malaysia.

Michael berkata bagi dirinya dan penghuni lain di rumah Anthony Bau, walaupun Sarawak terpisah dengan Semenanjung oleh Laut China Selatan, namun hubungan adalah sangat utuh dan bagaikan sebuah keluarga.

“Sebab itu, kita harus hayati Hari Malaysia pada 16 Sept kerana ia melambangkan perpaduan pelbagai budaya. Kami di sini sentiasa mengingatkan golongan anak muda supaya menghormati Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia dengan mengadakan pelbagai aktiviti sambutan,” katanya.

Biarpun jam ketika itu sudah melewati 11 malam dan kebanyakan penghuni rumah panjang itu sudah tidur, Michael terus bersemangat berkongsi cerita mengenai sambutan kedua-dua perayaan itu oleh penduduk Anthony Bau dan rumah panjang sekitarnya.

Kemeriahannya jelas terasa kerana boleh dikatakan hampir kebanyakan rumah panjang di kawasan itu seperti Rumah Mengiring, Rumah Gerasi Kapi, Rumah Entili mahupun Rumah Anthony Gelayan turut mengadakan pelbagai aktiviti sambutan.

Jamin kehidupan

Sepanjang perjalanan menyusuri sungai menuju ke rumah Anthony Bau dari Pangkalan Entabai, kelihatan beberapa rumah panjang lain yang sudah mengibarkan Jalur Gemilang.

Ada yang memasangnya di rumah, di perahu malah jambatan gantung turut tidak terkecuali.

Rombongan kami mengambil perjalanan darat sejauh 120 kilometer dari Sibu ke Pengkalan Entabai di Julau sebelum menggunakan perkhidmatan perahu panjang – yang merupakan pengangkutan utama – mengambil masa kira-kira 4 hingga 5 jam, bergantung kepada keadaan sungai dan paras air untuk sampai ke rumah panjang Anthony Bau.

“Macam-macam aktiviti kami anjurkan, ada pertandingan tarik tali, menyumpit, pancing ikan kawasan zon hijau, sepak takraw, cari tekoyong (siput sedut) dan juga siapa boleh selam lama dalam air. Kami juga jemput penghuni rumah panjang lain turut serta.

“Biasanya, kami juga banyak menerima jemputan dari rumah panjang lain untuk raikan ke dua-dua hari itu. Kalau begitu, kami akan memenuhi jemputan dulu kemudian barulah aktiviti rumah Anthony Bau pula bermula,” katanya.

Menurut Michael, kebanyakan masyarakat Iban di sekitar Sungai Mujok sangat mementingkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Ia bukan sahaja bagi mengenangkan jasa pemimpin yang mengasaskan penubuhan Persekutuan Malaysia bahkan manfaat daripada penyatuan Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak termasuk dari sudut ekonomi (pekerjaan), keselamatan mahupun pendidikan yang ternyata menjamin kehidupan masa depan.

Misalnya, kemudahan asrama, biasiswa, Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di beberapa sekolah sekitar kawasan Sungai Mujok yang disediakan kerajaan banyak membantu masyarakat pedalaman ini.

Tidak terpinggir

“Ramai anak-anak dari rumah Anthony Bau sekarang dapat ke sekolah kerana ada asrama. Sekolah terdekat adalah Sekolah Kebangsaan Nanga Ju. Kalau tidak tinggal asrama, mereka tidak boleh bersekolah.

“(Ini kerana) Kalau air sungai cetek, memang ambil masa lama untuk hantar mereka ke sekolah…2 jam perjalanan kerana terpaksa tolak perahu. Juga terdedah bahaya seperti beruang dan ular tedung kerana sini hutan tebal,” katanya.

Menurut Michael, ramai anak-anak masyarakat Iban di kawasan itu yang berjaya dan kebanyakannya bekerja di Semenanjung. Ada yang menjadi guru, anggota bomba dan tentera serta bertugas dalam sektor kesihatan dan perkilangan.

Pendapatan diperoleh bukan sahaja membantu ibu bapa di kampung malah turut digunakan untuk mencantikkan rumah panjang mereka.

“Dahulu, rumah ini guna lantai kayu saja dan selalu rosak. Bila ramai dah kerja, kami sama-sama cantikkan dan guna jubin.

“Penubuhan Malaysia, mudahkan kami cari kerja di Semenanjung. Sebelum ini saya pun pernah kerja di sana dan tidak rasa terasing kerana mereka layan macam keluarga,” katanya mengakhiri perbualan kami.