Felda: Usaha keluar penyata hutang peneroka bermula sejak 2016

Menurut Felda, usaha pengurusan Rancangan berbincang dengan baki peneroka dengan tujuan memuktamadkan hutang hanya mendapat persetujuan daripada 18% peneroka.

KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menjelaskan bahawa usaha mengeluarkan penyata hutang peneroka yang dimuktamadkan telah bermula sejak Disember 2016 lagi.

“Pihak Felda ingin menjelaskan bahawa proses memuktamadkan penyata hutang adalah satu proses berterusan kerana aktiviti tanam semula kebun peneroka dijalankan secara berperingkat, bukannya serentak.

“Kesemua peneroka yang dimuktamadkan hutang mereka telah menerima penyata hutang setiap suku tahun yang diedarkan oleh pengurusan Rancangan Felda,” kata Felda dalam satu kenyataan semalam.

Agensi itu mengeluarkan kenyataan balas berikutan laporan berita yang disiarkan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 8 Sept yang menyebut pengurusan Felda gagal menyediakan penyata hutang peneroka.

Felda menjelaskan penyata hutang peneroka terbahagi kepada 2 iaitu Penyata Hutang Interim (penyata hutang yang belum dikunci) dan Penyata Hutang Dimuktamadkan (penyata hutang yang telah dikunci).

Penyata Hutang Interim merangkumi hutang pembangunan kebun manakala Penyata Hutang Dimuktamadkan merangkumi hutang pembangunan kebun, hutang sosio-ekonomi dan hutang baja.

“Penyata Hutang Interim adalah penyata hutang peneroka bagi tempoh tahun pertama hingga tahun kelapan semasa program tanam semula berjalan.

Ia akan dimuktamadkan pada tahun kesembilan selepas pengurusan Rancangan Felda mendapat persetujuan bersama dengan Ahli Jawatankuasa Tanam Semula yang terdiri daripada peneroka rancangan yang terlibat dalam program tanam semula tersebut.

“Penyata Hutang Interim dikeluarkan oleh pengurusan Rancangan dan diedarkan kepada peneroka setiap suku tahun untuk semakan.

“Manakala penyata yang telah dimuktamadkan dikeluarkan oleh ibu pejabat dan diedarkan oleh pengurusan Rancangan pada setiap suku tahun,” katanya.

Ia berkata sebanyak 62% daripada 112,635 peneroka telah pun menjalankan aktiviti tanam semula bersama Felda di mana 50% daripadanya masih dalam tempoh 8 tahun tanam semula yang telah menerima Penyata Hutang Interim.

“Sehingga kini, usaha pihak pengurusan Rancangan untuk berbincang dengan baki peneroka dengan tujuan memuktamadkan hutang mereka hanya mendapat persetujuan daripada 18% peneroka sahaja,” katanya.