Hukuman takzir perlu ikut peredaran zaman, kata Wanita Amanah

Dr Mariah Mahmud berkata hukuman sebat sewajarnya dibincangkan dalam ruang terbuka dan tidak semestinya dijalankan dalam bentuk menghukum dan memalukan.

KUALA LUMPUR: Hukuman takzir perlu dilihat mengikut peredaran zaman dan situasi, kata Ketua Wanita Amanah, Dr Mariah Mahmud.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Serdang itu berkata hukuman itu sewajarnya dibincangkan dalam ruang terbuka dan tidak semestinya dijalankan dalam bentuk menghukum dan memalukan.

“Para ulamak perlu lihat apakah yang boleh diterima pada masa ini. Apa yang Pakatan Harapan (PH) nak buat ialah kita membawa ‘Malaysia Baru’ dengan menitik beratkan belas kasihan.

“Tidak semua perlu dihukum dan dimalukan di hadapan khalayak ramai. Kita boleh ubah suai,” katanya dalam forum bertajuk ‘Sebatan di khalayak ramai: Sejauh mana Islamiknya’ di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) malam tadi.

Hukuman takzir adalah hukuman di bawah undang-undang syariah yang ditentukan oleh pemerintah tetapi tidak disebut d dalam al-Quran dan hadis.

Forum itu turut menampilkan, bekas pegawai penerangan di pejabat ketua menteri Pulau Pinang, Wan Ji Wan Hussin, pengasas Malaysia Muda, Fadiah Nadwa Fikri dan pendakwah bebas, Ahmad Jallani Abdul Ghani.

Pada 3 September lalu, kira-kira 100 orang menyaksikan sepasang kekasih lesbian masing-masing berumur 22 dan 32 tahun dihukum sebat di Mahkamah Syariah Kuala Terengganu.

Hukuman sebat itu yang pertama kali dilaksanakan di negeri tersebut dijalankan oleh Jabatan Penjara Malaysia.

Semalam, Kumpulan Bertindak Bersama bagi Kesaksamaan Jantina (JAG) menggesa kerajaan menghentikan hukuman dera, terutama hukuman sebat untuk semua jenayah sama ada bawah undang-undang sivil atau syariah.

Pengarah Eksekutif Sisters in Islam (SIS) Rozana Isa berkata hukuman sebat tidak berperikemanusiaan kerana ia meninggalkan kesan masa panjang kepada fizikal, mental dan emosi pelaku.

Sebelum itu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata hukuman sebat di khalayak tidak mencerminkan keadilan dan timbang rasa dalam Islam, manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mujahid Yusof Rawa pula berkata hukuman sebat itu perlu dikaji semula.

Mariah juga mencadangkan hukuman sebat ditukar kepada khidmat komuniti.

Beliau juga berkata hakim Mahkamah Syariah dan keluarga boleh memberi nasihat kepada pesalah.

“Hukuman tidak semestinya menyakitkan. Kalau dulu kita pukul anak itu ok, sebab untuk didik.

Dengar cerita ikat pada pokok, pada zaman itu ia diterima, tetapi kalau hari ini ia dituduh mendera,” katanya.

“Jadi kena ada pembaharuan, tetapi perlu ada kata sepakat melalui debat,” katanya.

Sementara itu Fadiah berkata masyarakat tidak boleh bersikap “pukul rata” terhadap pesalah lesbian yang dihukum sebat di Terengganu itu.

Beliau bertanya adakah masyarakat mendalami sebab-sebab mereka menjadi demikian dan berfikir tentang kesan yang dialami pesalah selepas disebat.

“Kita tidak pernah bercakap dengan mereka (pesalah lesbian). Kesan sampingan dihadapi mereka kita tidak tahu,” katanya.