Israel buka semula laluan ke Gaza

BAITULMAQDIS: Israel membuka semula laluan pejalan kaki Erez di Semenanjung Gaza pada hari ini selepas seminggu lebih ditutup, lapor agensi berita Xinhua.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Israel dalam kenyataan berkata, laluan ditutup pada 5 September disebabkan “rusuhan” oleh penunjuk perasaan yang melempar batu dan merosakkan prasarana di laluan berkenaan.

Ia dibuka semula susulan suasana tenang sejak beberapa hari lepas.

Pada masa sama, Mesir dan pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bergelut untuk mewujudkan gencatan senjata berpanjangan antara Israel dan gerakan Islam, Hamas.

Tunjuk perasaan dekat sempadan Gaza sejak 30 Mac itu diadakan sebagai membantah sekatan yang dikenakan ke atas kawasan tersebut sejak 2007.

Sekurang-kurangnya 166 orang Palestin termasuk 125 penunjuk perasaan dibunuh tentera Israel manakala seorang tenteranya dibunuh penembak curi Palestin.