Kementerian: 14,000 lesen terbang dikeluarkan dalam 2 tahun

Anthony Loke menunjukkan lesen terbang yang hangat dijual oleh sindiket menerusi media sosial pada sidang media di pejabatnya hari ini.

PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan menganggarkan sebanyak 14,000 pengeluaran lesen memandu tanpa mengikut prosedur atau “lesen terbang” seperti ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalam (JPJ) dalam tempoh 2 tahun ini.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata pemegang lesen terbang terbabit yang kebanyakannya warganegara tempatan dan China dikehendaki tampil segera menyerahkan lesen tersebut bermula hari ini sehingga 13 Oktober depan.

“Kita bagi peluang serah balik kepada JPJ, jadi saksi untuk pendakwaan dan kita tak akan ambil tindakan kepada anda.

“Kalau tidak berikan kerjasama, anda akan dicari dan diambil tindakan tegas. Kami tahu identiti anda menerusi data peribadi menerusi sistem pengkalan data JPJ,” katanya pada sidang media di kementerian itu hari ini.

Mengulas lanjut, Anthony berkata seramai 12 orang pegawai dan anggota JPJ ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pengeluaran lesen terbang berkenaan.

Katanya, tangkapan berkenaan bermula pada 4 September lalu membabitkan 5 negeri sehingga hari ini dan semua pegawai terbabit kini ditahan kerja.

“Modus operandi mereka adalah memproses maklumat pemohon dengan menggunakan Prosedur Penukaran Lesen Memandu Luar Negara sedangkan pemohon berkenaan tidak pernah berkunjung atau bekerja di luar negara serta tidak pernah memiliki lesen memandu di luar negara,” katanya.

Anthony turut menyatakan pihaknya akan menubuhkan satu Jawatankuasa Khas Siasatan Dalaman bagi menyiasat pengeluaran lesen terbang berkenaan.

Menurutnya, mana-mana pihak yang didapati bersalah memiliki lesen terbang boleh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Di mana hukumannya minimum RM5,000 atau penjara atau kedua-duanya sekali.”