Mujahid: Islam untuk semua, jangan ikut kaca mata Melayu sahaja

PUTRAJAYA: Menteri Hal Ehwal Agama di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa menggesa penyataan Islam yang inklusif dan membidas acuan berasaskan kaum kerana ia menafikan sifat sejagat agama itu.

Beliau bertegas Islam tidak boleh dilihat sebagai perlambangan kaum kerana ianya diturunkan untuk semua kaum dan bangsa.

“Maka, adalah satu kezaliman bagi kita untuk mempamerkan Islam melalui tafsiran menurut kaca mata orang Melayu sahaja, sedangkan Islam itu agama yang ekslusif untuk semua,” katanya di seminar Fiqh Realiti di Malaysia di Kompleks Islam Putrajaya hari ini.

Mujahid berkata menuju ke depan masyarakat Islam di Malaysia hanya ada 2 pilihan iaitu meneruskan hidup dalam kemajuan dan perpaduan atau kekal dalam kejumudan dan perpecahan.

“Sama ada kita mahu menerajui masyarakat untuk mencapai aspirasi ‘rahmatan lil alamin’ berdasarkan ‘maqasid syariah’ tanpa mengira bangsa dan agama, ataupun kita kekal dalam kejumudan dan negara terus mundur dengan rakyatnya yang berpecah belah mengikut polarisasi kaum,” katanya.

Mujahid diundang untuk berucap mengenai cabaran menegakkan syariat Islam dalam realiti negara hari ini, terutama melibatkan kepelbagaian kaum dan kepercayaan.

Turut hadir Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin, Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan presiden kumpulan pendakwah, Multawa Asatizah dan Du’at, Dr Zaharuddin Abd Rahman.

Mujahid mengingatkan dia tidak maksudkan perkara-perkara yang bersifat tetap. “Banyak perkara tidak boleh berubah, solat contohnya. Sakit ke sihat, kena solat. Itu tetap”.

“Tetapi terdapat banyak hukum lain yang berkait rapat dengan keadaan manusia yang mungkin berubah mengikut keadaan semasa,” katanya.

Fiqah berdasarkan realiti

Pandangan seperti itu turut ditekan mufti Perlis. Asri berkata usaha memahami latar belakang dan adat sebelum mengeluarkan suatu fatwa adalah sangat penting dan satu kemestian.

Namun, masih wujud golongan yang menganggap fiqah berdasarkan realiti sebagai “bid’ah”.

“Mereka kata, perkara ini tiada pada zaman salaf. Ini satu kedangkalan,” katanya.

Asri menjelaskan golongan penentang menganggap hukum Tuhan sama bagi setiap tempat, zaman dan individu.

“Namun realitinya dunia sentiasa berubah. Budaya dan masalah di setiap zaman dan tempat juga tidak sama,” katanya.

Beliau memberikan contoh isu yang timbul kerana doktor perempuan menyelitkan tudung ke dalam pakaian seragam.

“Hujung tudung atau labuh tudung boleh terkena atau melindungi mana-mana bahagian tubuh pesakit jika bekerja dengan tudung diluar pakaian.

“Adalah lebih baik golongan profesional seperti mereka memasukkan tudung ke dalam baju supaya lebih selesa,” katanya.

Beliau berkata terdapat fatwa zaman ini nampaknya dibuat tanpa memahami realiti baru umat Islam.

“Ada yang begitu literal sehingga mengambil fatwa-fatwa muamalat dan siyasah daripada para ulama yang dangkal tentang hal politik dan berada dalam iklim yang berbeza serta kepentingan yang tersendiri.

“Ada pula yang memetik fatwa sempit tertentu seperti mengundi dalam pilihan raya itu haram sebab zaman sahabat tiada pilihan raya,” katanya.