Pemimpin Umno persoal sokongan Nazri kepada Anwar

Lokman Noor Adam berkata Timbalan Presiden Mohamad Hasan kena bertanding melawan Anwar Ibrahim.

PETALING JAYA: Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Lokman Noor Adam berkata Umno tidak akan menyokong Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana dia masih mengkritik pemimpin parti.

“Sehingga sekarang Anwar masih menyerang pemimpin Umno jadi tidak ada sebab untuk menyokongnya,” katanya.

Beliau mengulas laporan memetik Ahli Parlimen Datuk Seri Nazri Aziz sebagai berkata dia akan menyokong Anwar pada pilihan raya kecil Port Dickson.

Wakil rakyat Padang Rengas itu berkata ia adalah yang terbaik untuk Umno bagi memastikan parti itu kembali ke dalam kerajaan.

“Saya tidak jangka Umno akan jadi kerajaan dalam masa terdekat, tapi terdapat pendapat di kalangan ahli Parlimen Umno bahawa kita perlu kembali menjadi kerajaan secepat mungkin,” katanya lapor Malaysiakini.

Kenyataan itu menyusuli cubaan Umno membentuk satu kerjasama dengan PAS untuk meraih sokongan Melayu bagi menawan Putrajaya.

Lokman berkata Nazri konsisten menyokong kerajaan sekarang dan tiada tindakan disiplin diambil terhadapnya.

“Mengapa ambil tindakan terhadap Nazri sekarang sedangkan dia menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad dan itu lebih teruk daripada menyokong Anwar,” katanya.

“Saya tak nampak sebarang sebab untuk Umno ambil tindakan,” katanya dan menambah ini pandangan peribadinya.

Lokman berharap Umno mencadangkan bekas menteri besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai calon di Port Dickson.

“Dia ada rekod yang bersih. Dia calon terbaik untuk bertanding melawan Anwar,” katanya.

Semalam, Ahli Parlimen Port Dickson Danyal Balagopal Abdullah mengumumkan dia akan mengosongkan kerusi Parlimen itu untuk menyebabkan satu pilihan raya kecil yang akan ditandingi Anwar.

Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa berkata tiada tindakan akan diambil terhadap Nazri kerana “pendapat adalah hak masing-masing”.

Beliau berkata Umno belum memutuskan adakah mereka akan bertanding di Port Dickson.

“Umno akan bermesyuarat minggu depan untuk membincangkan pilihan raya kecil itu,” katanya.

Mohamad enggan mengulas sokongan Nazri kepada Anwar dan tentang pilihan raya kecil itu kerana Umno belum membuat keputusan untuk bertanding.