Pengubahan wang haram: Shafee berdepan 5 tahun penjara

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berdepan 4 tuduhan pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen hari ini berhubung pembayaran berjumlah RM9.5 juta daripada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Tuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).

Dalam 2 pertuduhan pertama, Shafee didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM4.3 juta pada 13 September 2013 dan RM5.2 juta pada 17 Februari 2014.

Dakwaan berikutnya, beliau didakwa membuat penyata tidak betul dan bertentangan dengan Akta Cukai Pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014.

Pendakwaan terhadap Shafee dibacakan di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi.

Beliau berdepan hukuman denda RM5 juta atau penjara maksimum 5 tahun atau kedua-duanya bagi 2 pertuduhan pertama, dan hukuman denda RM5 juta atau tidak kurang daripada 5 kali ganda hasil aktiviti itu, yang mana lebih tinggi, dan penjara maksimum 15 tahun bagi pertuduhan berikutnya.

Bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan tuntutan untuk menggugurkan pensabitan liwat, mengatakan dia tidak diberi perbicaraan yang adil, dan mengatakan ada bayaran sehingga RM9.5 juta yang didakwa daripada Najib.

Pemimpin PKR itu berkata keputusan keputusan terdahulu oleh Mahkamah Rayuan pada 2014, yang mendapati beliau bersalah meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan, dilakukan secara tidak berperlembagaan.

Panel hakim Mahkamah Persekutuan pada Februari 2015 mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan, dan menghantar Anwar ke penjara untuk menjalani hukuman 5 tahun.

Kerajaan melantik Shafee untuk mengetuai pendakwaan dalam rayuan Anwar terhadap pensabitan liwat pada 2015.

Dalam afidavit yang difailkan di Mahkamah Rayuan dan dikeluarkan minggu lalu, pegawai dari Jabatan Peguam Negara, Siti Rahayu Mohd Mumazaini mengesahkan Shafee menerima RM9.5 juta daripada Najib untuk mengetuai pendakwaan Liwat 2.

Siti Rahayu mendakwa 2 cek bernilai RM4.3 juta dan RM5.2 juta dimasukkan ke dalam akaun bank CIMB Shafee pada 13 September 2013 dan 17 Februari 2014.