Perintah berkurung di Esszone dilanjut hingga hujung September

Penduduk yang tinggal di Esszone tidak dibenarkan memasuki perairan dari 6.00 petang hingga 6.00 pagi sepanjang tempoh berkenaan. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Perintah berkurung di kawasan perairan 7 daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) yang berakhir 6.00 petang ini dilanjutkan hingga 28 September.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata, dengan pelanjutan itu, mereka yang tinggal di kawasan berkenaan diminta berada dalam rumah dan tidak dibenarkan memasuki kawasan perairan itu dari 6.00 petang hingga 6.00 pagi sepanjang tempoh berkenaan.

Beliau berkata perintah berkurung itu yang meliputi kawasan perairan daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran adalah untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan serta rakyat yang berada di kawasan daratan Esszone.

“Berdasarkan maklumat, kumpulan militan Abu Sayyaf dan mereka yang menjalankan kegiatan menculik untuk mendapatkan wang tebusan dari selatan Filipina masih cuba menceroboh bagi melakukan penculikan dan jenayah rentas sempadan,” katanya.

Omar berkata, perintah berkurung itu juga bagi memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat dan yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran kapal anggota keselamatan di sekitar kawasan mereka.

“Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di daerah Esszone untuk mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung,” katanya.