PH tahu tapi tak mahu mengaku, kata Najib

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini memaparkan bukti RM2.6 bilion yang diterimanya telah dikembalikan kepada Raja Arab Saudi selepas 4 bulan menerimanya.

Najib menerima wang itu sebulan sebelum pilihan raya umum ke-13 (PRU13) dan dia meminta “dana hal luar jangka” daripada Raja Abdullah untuk pilihan raya itu kerana bimbang akan cubaan menyogok wakil rakyat Barisan Nasional menyertai Pakatan Rakyat.

“Saya membuat keputusan untuk tidak meminta dana dari ahli perniagaan dan taikun tempatan sebagaimana dilakukan perdana menteri ke-4 (Tun Dr Mahathir Mohamad) kerana tahu jika berbuat demikian maka mereka akan meminta balasan projek yang bernilai jauh lebih tinggi.

“Saya tidak bersetuju dengan amalan kronisme,” katanya di Facebook.

Najib berkata Putera Abdulaziz Al-Saud menulis surat pada 1 Mac 2013 memberitahu dia akan diberi AS$800 juta secara berperingkat pada tahun itu, walaupun jumlah yang diterima tidak sampai angka tersebut.

Beliau berkata antara tugasnya sebagai presiden Umno adalah mencari sumbangan dan mengurus wang parti secara peribadi dan secara khusus.

Demikian itu selepas PRU13, Najib pada Julai membuat keputusan untuk memulangkan semua duit yang diterimanya kerana tidak lagi memerlukannya.

“Maka selepas Ambank menggunakan masa seketika untuk menukarkan ringgit dalam akaun saya kembali kepada dolar AS, semua dana ini dikembalikan kepada sumber yang diterima iaitu Tanore.

“Oleh kerana kadar pertukaran wang berbeza dengan penyusutan sebanyak 10% dari bulan Mac sehingga Ogos, hanya US$620 juta dikembalikan berbanding dengan US$681 juta yang diterima,” katanya.

Najib berkata beliau tidak simpan RM2.6 bilion itu dan berkata wang yang dipinjam mestilah dibayar balik.

Beliau berkata pemimpin Pakatan Harapan tahu hakikat ini tetapi tidak mahu mengaku dia tidak menyimpan RM2.6 bilion “untuk beli cincin atau beg tangan”.

“Jika seseorang mahu menyamun pun, tidaklah masuk akal untuk menyimpannya dalam akaun bank di atas nama sendiri dan kita tahu ia bukan dari dana 1MDB di mana kita semua tahu dananya ialah dari sumber pinjaman.

“Wang yang dipinjam mesti dibayar balik dan jika mahu mencuri dari sana tentu akan bermasalah bila sampai masa untuk membayar hutang.

“Tetapi persepsi inilah yang mereka wujudkan dalam kalangan rakyat kononnya saya merompak, menyamun dan mencuri berbilion-bilion, dan ramai terpengaruh dengan dakyah itu,” katanya.

Najib tidak mendedahkan perkara itu atas permintaaan Raja Abdullah untuk merahsiakannya.

“Tetapi kebimbangan yang utama ialah patutkah saya sebagai perdana menteri pada masa itu dedahkan kepada seluruh dunia bahawa ada berlakunya aktiviti beli-membeli ahli Parlimen dalam demokrasi Malaysia,” katanya.