Polis tahu lokasi sebenar Jho Low

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan mengesan lokasi sebenar ahli perniagaan kontroversi dan dikehendaki pihak berkuasa, Low Taek Jho atau Jho Low.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata bagaimanapun lokasi Jho Low tidak akan didedahkan kepada umum.

“Saya tidak akan dedahkannya kerana ia masih dalam siasatan kami lagi.

“Tindakan itu diambil bagi melancarkan proses siasatan dan tidak mahu siasatan yang dijalankan terganggu,” katanya pada sidang akhbar perkembangan siasatan 1MDB di Bukit Aman hari ini.

Noor Rashid berkata polis perlu berbincang dengan pihak berkuasa negara terbabit kerana ia membabitkan kedaulatan undang-undang negara itu.

Sebelum ini, pada 5 Julai, Jho Low disahkan sudah melarikan diri ke Macau.

Tetapi pada 11 Julai lepas, polis berkata Jho Low dipercayai meninggalkan Macau tanpa diketahui lokasi terbarunya dan perkara itu dimaklumkan melalui emel yang diterima daripada pihak berkuasa Macau.

Emel itu memaklumkan Jho Low meninggalkan Macau dan pergi ke destinasi yang tidak disebutkan.

Terdahulu, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata Jho Low dipercayai menggunakan pasport negara lain pada masa ini selepas imigresen membatalkan pasportnya pada 15 Jun lepas.