PRK PD: PAS beri laluan Umno lawan Anwar

Mahfodz Mohamed. (Gambar Bernama)

KUALA TERENGGANU: PAS tidak akan meletakkan calon pada pilihan raya kecil Parlimen Port Dickson dan memberi laluan kepada Umno untuk menentang calon kerajaan dalam pertandingan 1 lawan 1.

Ketua Ulama PAS Datuk Mahfodz Mohamed berkata partinya membuat keputusan itu dalam mesyuarat mengenai PRK Port Dickson malam tadi.

“Kita akan bagi sokongan seperti Umno beri sokongan kepada PAS di Seri Setia,” katanya pada sidang media selepas merasmikan perhimpunan agung sayap ulama hari ini.

Terdahulu, Mahfodz dalam ucapannya kepada perwakilan berkata keputusan pilihan raya umum ke-14 menunjukkan tiada perkara mustahil di Malaysia kerana rakyat berani berubah.

“Tiada kerajaan yang akan kekal selamanya. Begitu juga kerajaan hari ini. Sampai masanya akan ditukar. PAS perlu bersedia,” katanya.

Semua pembangkang ada persefahaman

Sementara itu, timbalannya Datuk Muhammad Zawawi Nik Saleh pada sidang media berkata parti-parti pembangkang, termasuk di Sabah dan Sarawak, sudah mencapai satu persefahaman.

Zawawi berkata mereka sepakat hanya 1 parti akan bertanding berdepan Pakatan Harapan pada mana-mana pilihan raya kecil akan datang.

“Kita bentuk kekuatan yang ada termasuk di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Danyal Balagopal Abdullah semalam mengumumkan dia meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Parlimen.

Pakatan Harapan dilaporkan mempunyai persefahaman iaitu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyerahkan kuasa kepada penggantinya, Anwar, selepas tempoh masa tertentu.

Anwar merupakan pilihan pertama gabungan itu untuk jawatan perdana menteri.