Rakyat lagi benci politik bila PH tabur janji, kata anak Hadi

KUALA TERENGGANU: Pemuda PAS hari ini mengecam Pakatan Harapan kerana sikap menabur janji menyebabkan rakyat semakin benci politik.

Ketua Pemuda Muhammad Khalil Abdul Hadi kecewa PH akhirnya akui manifesto yang tidak dapat dipenuhi itu hanyalah untuk menarik undi.

“PH sendiri mengakui gula-gula ditabur itu bermotif memenangi pilihan raya dan bukan untuk membina semula negara, lalu mereka akui tidak mampu menunaikan sebahagian janji.

“Sikap tidak bertanggungjawab, tidak beretika dalam berjanji seperti ini hanya mencemar dan menghodohkan wajah politik yang telah sedia mendapat tanggapan negatif,” katanya ketika berucap di perhimpunan agung Pemuda PAS hari ini.

Beliau membidas PH menabur janji ketika rakyat dihimpit kos sara hidup, dan selepas membentuk kerajaan “menyemarakkan masalah yang pernah dialami negara, termasuk memperkenalkan SST.”

“PAS perlu berdepan cabaran akidah, cabaran politik Melayu, cabaran ekonomi tempatan dan global, pendidikan, kebajikan, perpaduan rakyat dan sebagainya,” katanya.

Muktamar sayap pemuda yang berlangsung 13 hingga 14 September itu dirasmikan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Hadir sama Ketua Pemuda Umno Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dan pimpinan Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia dan pimpinan Pemuda Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia.