RM9.5 juta daripada Najib untuk pendahuluan beli hartanah, kata Shafee

Shafee Abdullah dikenakan 4 tuduhan pengubahan wang haram.

KUALA LUMPUR: Peguam terkenal, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang berdepan 4 pertuduhan di bawah akta pengubahan wang haram, berkata RM9.5 juta yang diterima pada 2013 dan 2014 daripada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dijadikan pinjaman untuk membeli hartanah.

Shafee, yang sekian lama mewakili Umno, berkata beliau tidak pernah meminta bayaran daripada parti itu untuk khidmat guamannya.

“Saya hanya bertanya pada 2013 kerana saya perlu membeli hartanah untuk membantu rakan,” katanya kepada pemberita hari ini, selepas beliau dikenakan 4 tuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).

“Wang itu diberikan kepada saya sebagai pendahuluan atau pinjaman, sehingga saya merasionalisasi pengebilannya,” katanya.

Beliau berkata sebaik sahaja rasionalisasi dilakukan, ia akan dapat dilihat melalui pulangan cukainya.

Shafee dituduh menerima bayaran sebanyak RM4.3 juta dan RM5.2 juta antara Ogos 2013 dan Januari 2014.

Dakwaan berikutnya, beliau dituduh membuat pengisytiharan palsu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri bagi jumlah yang sama antara Mac dan Jun 2015.

Beliau dibenarkan ikat jamin sebanyak RM1 juta, separuh daripadanya dibayar hari ini. Mahkamah menetapkan 2 Oktober depan untuk sebutan kes.

Pembayaran kepada Shafee dibuat di tengah-tengah Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan tuntutan untuk menggugurkan pensabitan liwatnya pada 2015.

Mahkamah Tinggi pada November tahun lalu menolak tuntutan tersebut, mengatakan Anwar tidak memberikan apa-apa keterangan untuk menyokong tuduhannya. Anwar baru-baru ini mendedahkan kandungan afidavit oleh seorang pegawai di Jabatan Peguam Negara, yang mengesahkan Najib memasukkan RM9.5 juta ke dalam akaun bank Shafee.

Shafee, yang dilantik khas oleh kerajaan untuk mengetuai pendakwaan terhadap Anwar, berkata bayaran RM9.5 juta daripada Najib adalah untuk perkhidmatan guaman kepada Umno dan parti komponen Barisan Nasional yang lain.

Shafee hari ini berkata peranannya sebagai pendakwa raya secara FIAT dalam perbicaraan Anwar hanya untuk membantah bagi rayuan kerajaan berdasarkan nota prosiding yang diambil semasa perbicaraan.

“Saya tidak mengemukakan bukti,” katanya.

Sementara itu, Shafee berkata penyiasat belum merekodkan kenyataan daripada semua saksi.

Beliau mempersoalkan pendakwaan terhadapnya hari ini, mengatakan siasatan itu tidak lengkap.

Beliau berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepatutnya memanggil Najib sebagai saksi utama untuk menjawab berhubung bayaran RM9.5 juta itu.

“Pertemuan itu dibatalkan kerana saya dibawa ke mahkamah hari ini dan mereka (SPRM) belum menetapkan tarikh lain untuk menemuinya,” katanya.

“Dia belum dipanggil untuk bekerjasama atau menafikan kandungan pembayarannya kepada saya dan penyiasat dan pendakwa raya memutuskan untuk mendakwa saya hari ini,” katanya.

Pada perbicaraannya, Shafee berkata beliau sedang menimbang sama ada memindahkan kesnya ke Mahkamah Tinggi.

“Bagi saya Hakim Mahkamah Tinggi lebih sesuai untuk mendengar kes saya. Saya mahu seorang hakim bebas mendengarnya, dan bukan seseorang yang menyokong satu pihak kerana saya percaya kita akan memenangi kes di hadapan hakim bebas,” katanya.