Sri Lanka, masih banyak untuk diteroka dan dijelajah

Sering dijolok sebagai “Mutiara Lautan Hindi”, negara kecil di bawah negara tanah besar, India iaitu Sri Lanka masih belum diteroka sepenuhnya oleh pelancong, menjadikan ia satu destinasi eksotik yang wajib ada dalam senarai.

Dengan mengambil perkara itu, buat pertama kalinya di Asia atau lebih tepat di Malaysia negara kepulauan Sri Lanka tampil dengan majlis makan malam bagi menawarkan pendedahan istimewa mengenai aspek pelancongan negara itu.

Sri Lanka Tourism Extravaganza di Malaysia yang diadakan pada Sabtu lalu membawa penggiat pelancongan yang terdiri daripada agen, usahawan dan syarikat terlibat ke sebuah acara penuh berwarna-warni menonjolkan warisan negara yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan tradisi.

Acara tersebut dilancarkan oleh Suruhanjaya Tinggi Republik Sosialis Demokratik Sri Lanka dengan kerjasama Biro Promosi Pelancongan Sri Lanka (SLTPB) bertujuan untuk mempromosikan Sri Lanka sebagai destinasi pelancongan pilihan di samping menyerlahkan elemen seni tari dan muzik yang turut dituntut sebagai sifat autentiknya.

Menariknya, pihak penganjur membahagikan seluruh pengalaman pelancongan dalam 8 kelompok iaitu Warisan (Heritage), Perayaan (Festivity), Kemurnian (Pristine), Pemandangan (Scenic), Esen (Essence), Keterujaan (Thrills), Penerokaan (Wilderness) dan Kebahagiaan (Blissfulness).

Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka ke Malaysia, I.J.M.. Muzammil dalam sidang media berkata, beliau amat mengalu-alukan kedatangan pelancong Malaysia ke negara tersebut sebagai satu lagi destinasi mesra pelancong Islam.

Komuniti Melayu dan makanan halal

Menarik mengenai perkongsian yang diberikan ialah betapa mudahnya bagi pelancong Islam mendapatkan makanan halal memandangkan Sri Lanka turut dihuni masyarakat beragama Islam di seluruh pelosok negara itu.

“Saya sendiri sebagai seorang Islam dan anda pasti akan teruja melihat komuniti Islam yang agak signifikan di Sri Lanka. Ia menjadikan negara itu bukan sahaja kaya agama dan bangsa malah budaya dan tradisi,” kata Muzammil.

Beliau juga akui kemudahan mendapatkan makanan halal di mana kebanyakan restoran dan kedai makan menyediakan makanan mengikut hukum Islam, iaitu halal.

Bukan itu sahaja, satu lagi fakta menarik mengenai negara kecil ini ialah kependudukan koloni Melayu yang masih wujud di beberapa wilayah. Melayu Sri Lanka ini dikenali ‘Langkapuri Malay’ wujud ekoran penghijrahan pada zaman kolonial British di Malaysia dan sebilangan lagi dari Indonesia.

Sehingga kini, dipercayai terdapat kira-kira 40,000 warga Melayu Langkapuri iaitu 0.20% daripada populasi negara. Kependudukan bangsa Melayu ini dapat dilihat dengan nama-nama seperti Malay Street, Java Lane dan Padang Street yang diberikan kepada jalan.

Hubungan diplomatik Malaysia- Sri Lanka

Dalam pada itu, Malaysia dan Sri Lanka juga dikatakan mempunyai hubungan diplomatik yang baik sejak 61 tahun yang lepas.

Menurut Ahli Parlimen dan Menteri Pembangunan Pelancongan dan Hal Ehwal Kristian, John Amaratunga, hubungan ini terus diperkukuh dengan pelbagai penjanjian 2 hala yang dibentuk, terbaharu pada tahun lepas oleh pemimpin kanan kedua-dua negara.

Dari segi kedatangan pelancong Malaysia ke negara itu dan sebaliknya mencapai hampir 75,000 orang sekali gus menunjukkan potensi negara itu sebagai pilihan pelancongan kepada rakyat Malaysia.

Pelancongan Ayurveda

Turut ditekankan ialah pasaran produk pelancongan Ayurveda yang turut mengekalkan keaslian kaedah rawatan alternatif terkemuka India itu. Mungkin ramai yang tidak sedar, Ayurveda juga merupakan tarikan pelancongan di negara ini, apatah lagi pusat-pusatnya ditempatkan dalam persekitaran yang cukup positif dan mengubati.

Pantai dan kembara warisan

Sememangnya tak lengkap jika kita tidak bercakap mengenai tarikan pantai yang membiru dan pengembaraan penuh keterujaan mengejar elemen warisan di Sri Lanka. Perjalanan sepanjang jalan perairan pasti akan menjanjikan pengalaman pemandangan pantai selain lokasi wajib dikunjungi seperti Negombo, Mount Lavinia,Wadduwa, Kalatura, Bentita dan banyak lagi. Dari segi pengembaraan pula anda pasti mahu menjejak kuil-kuil Buddha, gunung batu seperti Srigriya, sanktuari gajah dan hidupan liar, penjelajahan gua dan banyak lagi.

Majlis makan malam turut disertai Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia, Muhammad Bakhtiar Wan Cik bersama-sama lebih 500 jemputan terdiri daripada wakil-waki dari komuniti Diplomatik, pegawai, usahawan terkemuka di Malaysia, wakil pelancongan dan perdagangan, ahli akademik dan warga Sri Lanka.

Acara ini diadakan selari dengan Pameran Matta 2018, turut menampilkan pemuzik terkenal dunia, Bathiya & Santhush, maestro tari Channa dan Upuli Wijewardena serta kumpulan.