Tubuh suruhanjaya kaji kebenaran 13 Mei, seru ahli DAP

Boo Cheng Hau berkata suruhanjaya itu perlu menempa reformasi institusi dan perlembagaan. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seorang pemimpin akar umbi DAP Johor menyeru kerajaan menubuhkan jawatankuasa kebenaran dan perdamaian untuk mengkaji rusuhan 13 Mei.

Setiausaha Publisiti DAP Taman Ungku Tun Aminah, Dr Boo Cheng Hau dalam kenyataan hari ini berkata suruhanjaya tersebut mesti melibatkan wakil persatuan madani dan pakar undang-undang bebas.

Matlamat suruhanjaya itu ialah mencapai “perdamaian sebenar antara semua pihak terlibat dan menempa reformasi institusi dan perlembagaan”.

Dengan itu rakyat boleh maju ke depan sebagai satu bangsa “tanpa dibebani sejarah”.

Beliau berkata demikian selepas memuji Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh kerana mengakui “kesilapan” apabila mencabar pihak berkuasa mendakwa bekas ketua polis negara Tun Hanif Omar bawah Akta Hasutan selepas Hanif menuduh DAP dan Lim Kit Siang menyeru Semenanjung dibahagikan kepada “pantai timur untuk Melayu dan pantai barat untuk Cina” semasa tragedi 13 Mei itu.

Boo berkata: “DAP sentiasa memperjuangkan ‘Malaysian Malaysia’ yang bersatu dan tidak perkauman yang menentang sebarang pembahagian mengikut kaum”.

“Rakyat berhak tahu kebenaran tentang apa yang mencetuskan rusuhan kaum 13 Mei dan maju ke depan sebagai satu bangsa dengan gambaran yang jelas mengenai sejarah sebenar agar generasi masa depan menghalang kesilapan berulang”.

Pada 13 Mei 1969, rusuhan tercetus di Selangor susulan keputusan pilihan raya umum di mana pembangkang memenangi banyak kerusi di negeri itu dan negeri-negeri lain. Angka rasmi menganggarkan kurang dari 200 orang terbunuh tetapi ramai mendakwa ia melebihi 800 nyawa.

Sejak itu, kumpulan berbeza cuba menyalahkan DAP, Umno atau komunis atas tragedi itu.