Wanita kesunyian ditipu ‘Love Scam’ cecah RM83.6 juta

Antara akaun palsu yang digunakan warga Afrika untuk menipu melalui ‘Love Scam’.

KUALA LUMPUR: Wanita kesunyian tanpa mengira latar belakang merupakan sasaran utama bagi sindiket penipuan dalam talian, “Love Scam” yang menyebabkan jumlah kerugian dialami mangsa sebanyak RM83.6 juta bagi 2018.

Ketua Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Siber/Multimedia) JSJK Bukit Aman Datuk Ahmad Noordin Ismail berkata, jumlah kerugian dan jumlah kes bagi sindiket cinta palsu ini terus meningkat berbanding tahun lalu.

“Kegiatan penipuan dalam talian ‘Love Scam’ untuk tahun lalu adalah 1,652 kes melibatkan jumlah keseluruhan RM61.9 juta dan pada 2018, sebanyak 1,301 kes dengan jumlah kerugian RM83.6 juta,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Ahmad Noordin berkata, sindiket itu menjadikan media sosial, Facebook sebagai senjata utama untuk menipu dengan menggunakan ayat-ayat manis sebelum mengumpan mangsa secara halus untuk membuat transaksi wang.

“Modus operandi yang dilaksanakan bagi fasa pertama adalah mereka gunakan aplikasi media seperti Facebook, mereka akan berkenalan dengan mangsa dan cuba dapatkan kepercayaan mangsa.

“Mereka akan membuatkan mangsa percaya mereka adalah individu sebenar dalam Facebook itu, kemudian apabila sudah mendapat kepercayaan, mereka akan gunakan aplikasi WhatsApp dan meminta mangsa mengirimkan wang tanpa mengira sebanyak mana pun,” katanya.

Ketua Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Siber/Multimedia) JSJK Ahmad Noordin Ismail (kiri) bersama pegawainya menunjukkan peralatan digunakan warga afrika dalam sindiket ‘Love Scam’

Noordin menambah 25 individu warga asing yang majoritinya adalah dari benua Afrika ditahan dalam operasi serbuan di beberapa premis sekitar Lembah Klang pada 6 September lalu.

“Hasil dari serbuan, polis berjaya memberkas 15 lelaki dan 5 perempuan warganegara Nigeria, 4 lelaki dari Tanzania dan seorang perempuan dari negara jiran, iaitu Thailand. Mereka sudah beroperasi sejak lewat tahun lalu lagi.”

Katanya, berdasarkan siasatan terhadap serbuan itu, sebanyak 9 kes berjaya diselesaikan dengan jumlah kerugian dialami mangsa “Love Scam” berjumlah RM500,000.

“Berdasarkan semakan aplikasi media sosial yang digunakan suspek, didapati 23 orang bakal mangsa dari pelbagai negara termasuk China, Jepun, Indonesia, Filipina, dan Amerika Syarikat sedang cuba ditipu penjeyanah ini,” katanya.

Ahmad Noordin berkata, polis turut merampas beberapa peranti digunakan suspek untuk menipu dan menjalankan kegiatan “Love Scam” seperti komputer riba, pemacu pena (pendrive), telefon bimbit, dan kad ATM dari pelbagai jenis bank.

“Suspek sindiket ini juga menggunakan kemudahan perbankan milik pihak ke-3 di mana terdapat wanita (pemilik akaun) didapati diperdaya untuk menyerahkan kad ATM dan akses perbankan kepada penjenayah melalui kiriman pos,” katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai berhati-hati menggunakan aplikasi media sosial dan tidak mudah terpedaya dengan apa jua tindakan yang diminta oleh “sahabat” dari media sosial.

“Apabila ada yang datang untuk berkenalan dan meminta wang dari media sosial tanpa pernah bertemu, maka terus berhenti. Mungkin orang yang kita bercakap itu lain dari imej yang dipaparkan di media sosial.”