Wisma Putra mahu betulkan persepsi mahasiswa

GEORGE TOWN: Kementerian Luar Negeri akan mengadakan siri pertemuan bersama mahasiswa di semua institusi pengajian tinggi untuk menerangkan mengenai dasar luar Malaysia dan memperbetulkan persepsi mereka.

Menteri Datuk Saifuddin Abdullah berkata pertemuan juga untuk mendengar pandangan dan maklum balas generasi muda berhubung dasar luar negara.

“Kebanyakan rakyat menganggap dasar luar itu tidak ada kaitan dengan kehidupan seharian mereka sedangkan pada kita dasar luar bermula di tempat kita sendiri.

“Misalnya dalam isu etnik Rohingya memang kita nak bantu secara kemanusiaan pelarian Rohingya di sini tetapi kita juga nak dengar apa perasaan orang tempatan. Ada pihak yang sudi membantu dan ada juga yang bersungut.

“Jadi kita kena seimbangkan kemanusiaan untuk membantu pelarian Rohingya dan juga lain-lain tetapi pada waktu yang sama kita kena selesaikan masalah-masalah dalam negeri dengan secepat mungkin,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, beliau mengadakan dialog mengenai isu hubungan antarabangsa bersama pelajar Universiti Sains Malaysia (USM).

USM menjadi universiti pertama bagi siri pertemuan itu dan diikuti Universiti Malaysia Sabah pada 16 September ini.

Saifuddin berkata siri pertemuan bersama mahasiswa itu seiring dengan pendekatan kerajaan Pakatan Harapan yang mengutamakan proses rundingan.

“…sebab itu kementerian sudah mula wujudkan majlis-majlis rundingan mereka. Kita dah ada majlis rundingan pembangunan usahawan, pertanian, pendidikan kebangsaan dan saya akan lancarkan majlis rundingan dasar luar selepas ucapan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di PBB sebab itu ucapan dasar tentang dasar luar,” katanya.

Beliau berkata siri pertemuan itu akan diadakan secara berterusan di semua institusi pengajian tinggi awam dan swasta seluruh negara.