25 militan maut dalam serangan udara di Afghanistan

Pasukan keselamatan Afghanistan meningkatkan serangan darat dan udara terhadap kumpulan militan itu. (Gambar Reuters)

KABUL: Sekurang-kurangnya 25 anggota militan Taliban terbunuh apabila Tentera Udara Afghanistan melancarkan serangan udara ke atas kubu kumpulan pengganas itu di wilayah Ghazni yang bergolak, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan Kementerian Pertahanan pada Jumaat.

“Serangan udara itu dijalankan selepas tip-tip risikan mengesahkan kehadiran militan di tempat persembunyian yang disasarkan di daerah Muqur pada lewat Khamis,” menurut kenyataan kementerian itu.

Sebuah kenderaan tentera dan 2 senjata tanpa tolak balik berkaliber 82mm turut musnah dalam serangan itu.

Awal bulan lepas, Taliban menawan ibu kota wilayah itu, bandar Ghazni, yang menyaksikan ramai orang awam, anggota pasukan keselamatan dan militan terbunuh atau cedera dalam pertempuran yang berlanjutan selama 5 hari.

Pasukan keselamatan Afghanistan, yang disokong oleh tentera gabungan NATO pimpinan Amerika Syarikat, meningkatkan serangan darat dan udara terhadap kumpulan militan itu sejak beberapa bulan kebelakangan ini semasa negara tersebut sedang melakukan persiapan untuk pilihan raya di peringkat Parlimen dan majlis daerah yang dijadualkan berlangsung pada 20 Oktober.