Amanah sambut baik PAS bakal bentuk gabungan baru pembangkang

Amanah berkata perkara itu seiring dengan sistem demokrasi negara.

KUALA LUMPUR: Amanah menyambut baik apa sahaja gabungan pembangkang yang bakal dibentuk selepas ini seperti yang dibayangkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, hari ini.

Setiausaha Agungnya, Mohd Anuar Mohd Tahir berkata perkara itu dilihat seiring dengan sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini.

“Kita alu-alukan gabungan parti pembangkang, sangat alu-alukan. Kami dulu pun menggabungkan parti-parti pembangkang di bawah barisan alternatif pada 1999 kemudian diikuti Pakatan Rakyat dan kita tubuhkan Pakatan Harapan (PH).

“Jadi kalau pembangkang sekarang ingin mewujudkan satu barisan pembangkang, itu hak dalam sistem demokrasi kita,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Wisma Amanah, hari ini.

Memetik laporan media hari ini, Hadi memberi bayangan akan lahir satu barisan baru pembangkang tanpa Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi kerajaan PH.

Ahli parlimen Marang itu juga menjelaskan setiap gabungan parti politik mempunyai hayat tertentu dan rakyat wajar menantikan perkembangan baharu selepas ini.

“Kalau Perikatan (gabungan sebelum BN) dulu ada hayat dia, (maka) BN juga ada hayat dia,” kata Hadi.

PAS sebelum ini memaklumkan hala tuju kerjasama parti itu bersama Umno akan ditentukan di Muktamar minggu ini.

Baru-baru ini PAS dan Umno mencipta sejarah baru apabila kedua-dua parti itu menyatakan sokongan secara terbuka kepada 1 calon pilihan raya sejak 1970-an.

Kedua-dua parti itu senada untuk menyokong bekas calon PAS, Dr Halimah Ali pada PRK Seri Setia yang berlangsung Sabtu lalu.

Malah kedua-dua parti juga terbuka untuk menghadiri mesyuarat agung parti masing-masing.